
Inkues Zara Qairina: ‘Kak M’ pelajar yang baik, tuduhan terhadapnya sangat kejam – Warden
Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada Khamis berlangsung penuh emosi apabila seorang saksi meluahkan kesedihan dan terkilan dengan kecaman netizen atau warga siber.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31, tidak dapat menahan sebak ketika memberi penjelasan tentang kecaman yang yang dilemparkan ke atasnya pada hari kesembilan prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi kelapan itu menegaskan bahawa beliau serta pihak sekolah tidak pernah melindungi sesiapa, sebaliknya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan semua bukti dan keterangan berkaitan kes berkenaan.
“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara Qairina, saya tidak akan ceritakan apa (insiden tuduhan curi) yang berlaku pada malam 15 Julai itu kepada pegawai polis. Saya maklumkan perkara itu sebelum ibu Zara Qairina membuat laporan polis kali kedua.
“Saya sendiri yang berurusan dengan polis. Apa-apa polis minta, siapa sahaja yang polis mahu bawa ke IPD Papar saya bawa, termasuklah audio ‘Kak M’. Saya juga yang memberitahu polis siapa ‘Kak M’,” katanya.
Azhari menegaskan bahawa remaja yang dikatakan sebagai ‘Kak M’ di media sosial bukanlah ‘Kak M’ yang sebenar.
Sebaliknya remaja yang dikaitkan itu merupakan seorang pelajar baik yang hampir setiap tahun menyertai pertandingan hafazan sekolah serta antara tiga pelajar terawal menamatkan Ujian Akhir Sesi Akademik pada tahun lepas.
“Tuduhan terhadap pelajar terbabit sangat kejam hanya kerana dia orang pertama menemui Zara Qairina tidak sedarkan diri di asrama pada awal pagi 16 Julai lepas. Kalau tiada dia, bagaimana keadaan Zara Qairina? Mungkin Zara Qairina sudah kehilangan nyawa di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau memberikan keterangan itu ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes Zara Qairina.
Saksi juga sedih atas kecaman yang dilemparkan ke atasnya hanya kerana melakukan segala usaha bagi menyelamatkan Zara Qairina selain memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan segala bukti.
“Adakah ini yang patut saya terima? Adakah ini patut sekolah terima? Tiada apa yang kami selindung. Kami sudah memberitau semua perkara. Semua itu tanggungjawab saya. Saya tidak mahu Zara Qairina teraniaya. Tapi, itulah sekarang ini, memang sekolah teraniaya termasuk saya sendiri.
“Saya ada… saya tunggu sampai Zara Qairina dicabut mesin. Saya tunggu Zara Qairina di mortuary (rumah mayat). Saya juga bertemu dan berbual dengan ibu Zara Qairina ketika berada di hospital hingga hari pengebumian remaja itu di Sipitang. Saya ada. Saya ikut solat sampai ke perkuburan. Inikah patut saya terima?,” soal saksi itu.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama
‘Cerita Kak M bermula sejak Mei, kenapa ibu Zara Qairina tak buat laporan?’ – Ketua Warden
Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mempersoalkan tindakan ibu arwah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, yang didakwa berdiam diri walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu mengenai masalah dihadapi pelajar itu di asrama.
Azhari Abd Sagap, 31, yang juga guru Bahasa Arab, membangkitkan persoalan berkenaan ketika memberi keterangan sebagai saksi kelapan pada hari kesembilan prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
“Cerita mengenai ‘Kak M’ ini bermula sejak Mei lalu, mengikut hasil siasatan pihak sekolah… kenapa ibu Zara Qairina tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah? Itu yang menjadi persoalan saya.
“Saya berasa sangat terkesan dengan kehilangan pelajar itu… sebab itu saya ambil tahu semuanya. Kalau tiada aduan daripada Zara Qairina sendiri, sepatutnya ada aduan daripada ibunya tetapi langsung tidak ada,” katanya dengan nada kecewa.
Menjawab soalan peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes berkait Zara Qairina, Azhari berkata, ibu mangsa juga tidak pernah menceritakan sebarang insiden buli kepadanya ketika mereka bertemu di Unit Kecemasan hospital.
“Ya, tidak ada. Kami tahu (mengenai buli) pun selepas ibu mangsa membuat hantaran dalam TikTok,” katanya.
Azhari yang meluahkan perasaan sedih kerana secara peribadi mengenali Zara Qairina sebagai pelajarnya, turut mengimbau pesanan pernah disampaikan beliau dalam kelas Bahasa Arab yang dihadiri arwah.
“Saya ajar Zara Qairina… saya pernah berpesan dalam kelas, kalau kamu (semua pelajar perempuan) tidak mahu menutup aurat dengan baik atau tidak mahu memakai ‘handsock’ (stoking tangan), kamu humban saja bapa kamu dengan batu.
“Selepas itu, Zara Qairina mula memakai ‘handsock’. Saya masih ingat ‘handsock’ putih yang dipakainya.
“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya dialami mangsa. Saya sendiri tertanya-tanya dan mahu mencari keadilan,” katanya.- 18/9/2025
Zara menangis, teriak ‘Wallahi aku tak mencuri bah’ – saksi
Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada Rabu diberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir menyebut ‘Wallahi’ dan menangis berteriak dengan menyebut ‘aku tidak mencuri bah’.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31, berkata remaja itu berbuat demikian susulan aduan seorang pelajar tingkatan satu mengenai kecurian barangnya kepada ketua bilik, sebelum remaja itu dipanggil untuk disoal mengenai hal tersebut.
“Zara Qairina telah diminta bersumpah dengan menyebut ‘Wallahi’ oleh ketua biliknya atas tuduhan mencuri dan Zara Qairina juga menyebut ‘Wallahi’ dan dia tidak mengaku berbuat demikian selepas ditanya oleh ketua biliknya itu,” katanya.
Azhari memaklumkan dia mengetahui perkara itu menerusi pengakuan bertulis lima pelajar termasuk seorang pelajar tingkatan empat selepas siasatan dijalankan oleh pihak warden.
“Ketika itu, saya berada di hospital dan saya telah meminta beberapa guru dan warden perempuan untuk membuat siasatan dan penghuni asrama sebilik dengan Zara Qairina berkumpul di bilik isolasi sebelum bersambung di musolah bagi tujuan berkenaan.
“Hasil siasatan di bilik isolasi asrama perempuan dan musolah itu dimaklumkan kepada saya dalam kumpulan WhatsApp oleh unit disiplin sekolah,” katanya.
Dia menjelaskan perkara itu ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina pada hari kelapan prosiding inkues kematian pelajar itu.
Saksi kelapan itu seterusnya berkata selepas Zara Qairina bersumpah ‘Wallahi’, pelajar-pelajar tingkatan satu memeriksa loker dan begnya dan menjumpai pin bendera Malaysia milik ketua dormnya.
“Pada masa itulah, ketua dorm Zara Qairina ke bilik yang sebelah, ditanya lagi betulkah mencuri dan Zara Qairina tidak mengaku.
“Selepas itu, Zara Qairina keluar dari bilik dia sambil menangis berteriak cakap ‘aku tidak mencuri bah, bodoh’,” katanya.
Dia berkata kali terakhir penghuni asrama melihat Zara Qairina ialah di tandas sebelum remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri.
Mengenai tindakan mengalihkan Zara Qairina dari lokasi asal ke kawasan berdekatan dengan rumah warden, saksi berkata mangsa diangkat dan diletak secara perlahan-lahan dengan dialaskan kain pelekat kerana keutamaan ketika itu adalah keselamatan remaja tersebut.
“Tujuan asalnya adalah mahu membawa mangsa ke hospital namun kami berhenti di situ disebabkan badan mangsa yang agak berat selain tempat itu sesuai kerana tidak dinampak oleh pelajar-pelajar lain,” katanya.
Saksi tidak menafikan trauma melihat keadaan Zara Qairina dan mengesahkan pengetua sekolah berkenaan tiba di lokasi kejadian semasa mereka menunggu ambulans.
Prosiding inkues bersambung esok. Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.
Remaja itu dimasukkan ke hospital itu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
- Bernama – 17/9/2025
Dakwaan kait Zara Qairina dengan kehilangan dompet seorang pelajar tidak lama sebelum ditemui tak sedar diri
Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pernah dipanggil oleh pelajar senior tingkatan empat selepas ada dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kehilangan dompet seorang pelajar.
Prosiding inkues Saksi keenam inkues kes kematian arwah di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu Jumaat diberitahu demikian oleh saksi keenam Linah Mansoding yang juga seorang pengawal keselamatan di sekolah itu.
Menurut Linah pelajar sekolah itu pernah bercakap mengenai Zara Qairina dituduh mencuri barang milik seorang pelajar yang dirujuk sebagai A.
Pelajar A telah memaklumkan kepadanya pada 15 Julai lalu bahawa dia kehilangan dompetnya.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokannya.
“Dia (A) memberitahu yang dompet itu berada dalam begnya pada sebelah pagi tetapi sudah hilang ketika malam.
“Dikatakan ada wang tunai RM300 dan kad bank di dalam dompet itu. Bagaimanapun, dia tidak cakap siapa yang mencuri dompetnya,” kata Linah sambil memaklumkan bahawa beliau telah menasihati A bahawa pelajar sepatutnya meminta bantuan warden untuk menjaga keselamatan wang mereka.
Peguam, Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara Qairina, menyoal Linah berhubung dakwaan kecurian itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Linah turut memberitahu mahkamah bahawa A telah melaporkan kepada pelajar senior berhubung dakwaan kehilangan dompetnya.
Berikutan itu, beliau berkata, seorang daripada warden dikenali sebagai Ustaz Rizani mengambil langkah susulan mengenai dakwaan itu, termasuk bercakap dengan dua pelajar serta menemu bual beberapa yang lain secara individu.
“Apabila Zara dituduh mencuri, pelajar Tingkatan Empat memanggil dan menyoalnya,” katanya.
Shahlan: Dalam ramai-ramai pelajar, kenapa Zara yang dituduh?
Linah: Saya pun tidak tahu kenapa.
Dalam pada itu, saksi terbabit memaklumkan bahawa sejak sesi persekolahan 2025 bermula pada Mac lalu, beliau hanya berinteraksi sebanyak dua kali dengan arwah – setelah melihat rakaman video TikTok Zara Qairina serta ketika beliau melarangnya berada di kawasan dobi selepas waktu tengah malam.
Berhubung video TikTok terbabit, Linah berkata, beliau ada bertanya kepada Zara Qairina mengenai siapa perempuan yang arwah menyesal berjumpa sebagaimana dinyatakan dalam rakaman itu, namun Zara Qairina enggan menceritakan lanjut. – 12/9/2025
Kes Zara Qairina: Pengawal keselamatan kata dia tidak pernah nampak pelajar cuci pakaian jam 2 pagi….
Seorang pengawal keselamatan yang jadi saksi inukes kes Zara Qairina Mahathir beritahu di Mahkamah Koroner,Kota Kinabalu pada Jumaat dia tidak pernah nampak pelajar senior (di asrama sekolah itu) mencuci pakaian jam 2 pagi.
Ini setelah Linah Mansoding @ Jaliha, 65 beritahu mahkamah bahawa orang pertama yang temui Zara Qairina tidak sedar diri ialah seorang pelajar senior yang mendakwa bangun awal kerana mahu mencuci pakaian.
[Dalam prosiding inkues pada 10 September,kelmarin dia beritahu pada 16 Julai lalu sekitar jam 3.00 pagi, dia dimaklumkan seorang pelajar mengenai seorang pelajar ditemui pengsan di longkang berhampiran asrama Blok Rabiatul Adawiyah.]Dia beritahu pasal tidak pernah nampak pelajar cuci pakaian jam 2 pagi ketika disoal peguam, Nurul Rafiqah Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara Qairina.Menurut Linah kebiasaannya pelajar asrama mencuci pakaian sekitar jam 10 malam, iaitu selepas sesi ‘prep’ (kelas malam), sama ada bersama rakan atau sendirian.
Nurul Rafiqah: Sepanjang pengalaman puan, adakah biasa pelajar berjalan di pekarangan asrama sekitar jam 2 pagi?
Linah: Tidak. Kalau jam 2 pagi, jarang… tidur sudah.
Nurul Rafiqah: Pernahkah pelajar-pelajar mencuci pakaian pada jam 2 pagi?
Linah: Tidak pernah.
Nurul Rafiqah: Sebelum ini, puan pernah nampak pelajar senior itu mencuci pakaian sekitar jam 2 pagi?
Linah: Tidak pernah.
Sebelum itu Linah menjawab soalan peguam, Joan Goh yang mewakili seorang daripada remaja didakwa membuli si mati, pada hari ketujuh inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu terbabit.
Katanya pelajar senior itu adalah individu pertama yang menjumpai Zara Qairina berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.
Goh: Apabila pelajar senior itu berlari mencari puan, ketika itu, puan tahu dia di mana? Maksud saya, pada kali pertama pelajar itu nampak arwah.
Linah: Kira-kira jam 3 pagi… dia cakap dengar macam benda jatuh, dia mahu cuci kain… dia bangun awal sebab panjang giliran, dia mahu cuci kain tapi dia dengar macam ada benda jatuh… dia tengok, terus dia panggil saya.’
Disoal Joan Goh lagi ….Linah yang bertugas di sekolah itu sejak 2012 beritahu bahawa tidak ada sebarang pergaduhan berlaku antara pelajar di asrama perempuan pada malam kejadian kes Zara Qairina.
Pengawal keselamatan itu kata dia juga tidak mendengar apa-apa bunyi kuat sepanjang bertugas pada malam kejadian.
“Saya tidak dengar apa-apa bunyi kuat. Saya tidak dengar budak-budak bergaduh sebab bilik mereka semua sudah gelap. Saya tidak pernah dengar kes pukul dalam kalangan pelajar asrama itu. Mereka cuma main-main sahaja. Tiada kes pukul, macam cakap-cakap sahaja… macam kau bodohlah,” katanya. – 12/9/2025
Kes Zara Qairina: Bekas guru besar didakwa buat hantaran ancam Dr Jessie Hiu
Seorang bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu, saksi inkues kematian Zara Qairina Mahathir, menerusi media sosial Facebook awal bulan ini.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sedar telah membuat komunikasi berbentuk ancaman yang kemudian dibaca oleh Dr Hiu pada 4.15 petang, 5 Sept lepas.
Hantaran tersebut didakwa dimuat naik pada 4 Sept 2025 sekitar 11 malam melalui aplikasi Facebook menggunakan profil ‘Amung Kamaruddin’.
Bagi kesalahan itu, Kamul didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, iaitu denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin serta tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Elhanan James yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan polis selain menghidap penyakit darah tinggi dan gout.
Hakim kemudian memerintahkan Kamul dikenakan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin tempatan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Sept depan.- BERNAMA – 11/9/2025
Inkues kes Zara Qairina diberitahu siapa orang pertama temui Allahyarham tidak sedarkan diri…
Siapakah orang pertama yang temui Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Kinarut pada 16 Julai lalu.
Pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65,yang bertugas kawasan itu pada malam berkenaan beritahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada prosiding ikues hari Rabu bahawa ia adalah seorang pelajar senior.
Saksi keenam inkues itu kata pada 15 Julai 2025, dia bertugas sebagai pengawal keselamatan bermula jam 8 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya iaitu 16 Julai 2025.
Menurut Linah pelajar berkenaan datang seorang diri tanpa ditemani sesiapa.
Dia kata,” “Sekitar jam 2 pagi pada 16 Julai 2025, saya telah membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan tiada apa-apa kejadian berlaku.
“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan iaitu Blok Sumayyah yang juga asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya.
“Sekitar jam lebih kurang 3 pagi, semasa saya berada di asrama Blok Sumayyah, saya telah dimaklum oleh seorang pelajar bahawa ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang asrama Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya terus bergegas ke asrama Blok Rabiatul Adawiyah dan melihat seorang pelajar perempuan yang dikenali dengan nama Zara terlentang di longkang asrama dalam keadaan tidak sedar diri,” katanya.
Linah berkata, selepas melihat mangsa, beliau terus menghubungi Ketua Warden Asrama mengenai kejadian itu dan mengambil sekeping gambar Zara dalam keadaan terlentang di longkang terbabit.
“Selepas Ustaz Azhari (Ketua Warden) sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4 pagi.
“Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk terima rawatan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan peguam ibu arwah Zara Qairina, Shahlan Jufri “Bagaimana dia (pelajar senior) memaklumkan kepada puan bahawa ada pelajar pengsan?”
Linah: Dia panggil, aunty, aunty ada budak pengsan. Saya tanya apa bilik, dia cakap bukan di bilik. Jadi kami terus berlari dan sampai di situ saya nampak pelajar terlentang. Saya tidak pegang sebab dia terlentang, tapi dia masih bernafas.
Shahlan: Masa dia panggil, ada siapa-siapa lagi?
Linah: Tiada, dia seorang saja.
Shahlan: Selepas dia panggil dan puan pergi ke tempat kejadian, adakah puan tahu siapa pelajar itu?
Linah: Ya memang saya tahu, lepas tengok muka saya terus ingat nama dia Zara.
Shahlan: Macam mana puan boleh pasti pelajar tu Zara?
Linah: Memang biasa dengan budak sana kan.
Pada prosiding itu Linah beritahu telefon awam di asrama sekolah berkenaan ditutup 48 jam selepas Zara Qairina ditemukan.
Linah memberitahu mahkamah demikian ketika ditanya peguam Shahlan Jufri, pada sesi soal jawab prosiding inkues yang masuk hari kelima.
Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai 2025, adakah pelajar-pelajar sekolah boleh menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: Macam ‘public phone’ (telefon awam) pun sana ada kena tutup selama dua hari dua malam.
Shahlan: ‘Public phone’ di sana ditutup selama dua hari dua malam?
Linah: Sebab budak-budak banyak call (hubungi) ibu bapa diorang (mereka).
Shahlan: Sebelum itu Puan, ada berapa ‘public phone’ di sana?
Linah: Blok A tiga (telefon awam), blok B tiga (telefon awam).
Shahlan: Macam mana ‘public phone’ ditutup?
Linah: Dikasi mati (ditutup) suis.
Shahlan: Siapa tutup suis?
Linah: Ketua warden suruh tutup. – 10/9/2025
Inkues kes Zara Qairina : Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuhnya semasa dibawa ke hospital HQE selepas ditemui..
Inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini diberitahu tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit sewaktu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada jam 4.38 pagi 16 Julai lalu.
Dr Janefer Voo ,pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE kata hanya ada kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang di tangan kiri dan kedua-dua buku lali.
Beliau adalah saksi ketiga dalam prosiding inkues itu yang bermula pada minggu lalu.
Dalam keterangan bertulisnya Dr Voo berkata Zara Qairina dijumpai di tingkat bawah asrama sekolah dan hasil pemeriksaan mendapati selain tidak sedarkan diri, bahagian belakang kepala pesakit cedera, bengkak dan berdarah.
“Pesakit patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah tulang terbuka pada buku lali sebelah kaki kiri dan patah tulang tertutup pada buku lali sebelah kaki kanan.
“Selepas pemeriksaan dijalankan, ‘Trauma Alert’ telah diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.42 pagi pada tarikh sama untuk rujukan segera kepada pasukan daripada Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan, dan Anestesiologi. Sementara proses resusitasi dilakukan kepada pesakit ini.
“Hasil pemeriksaan saya, pesakit disyaki mempunyai kecederaan otak yang teruk terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang pada kedua-dua buku lali dan pergelangan tangan kiri, dan disyaki mempunyai pendarahan dalaman,” katanya.
Dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, pesakit disyaki mengalami kecederaan dalaman ‘due to High Impact’ pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan.
“Hasil pemeriksaan saya, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit, hanya ada kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang di tangan kiri dan kedua-dua buku lali.
“Selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan pada otak, kepatahan tulang terbuka pada buku lali kiri dan tumit kiri, kepatahan tulang tertutup pada tulang tangan kiri dan kaki kanan, tulang belakang lumbar dua, tiga dan empat patah dan darah beku pada tulang pinggul dan otot psoas kiri,” katanya.- 9/8/2025
Kes Zara Qairina: Peguam Negara kata sebarang pertuduhan baru hanya selepas inkues selesai
Kalau ada yang tertunggu untuk melihat kemungkinan ada individu baru akan berdepan pertuduhan kes kematian Zara Qairina Mahathir…lupakan buat sementara waktu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada Sabtu telah memberi senario kes berkenaan.
Katanya sebarang pendakwaan hanya akan dipertimbangkan selepas inkues di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu yang sedang berjalan sekarang selesai mendengar semua keterangan saksi.
Selain itu mahkamah berkenaan membuat penemuan rasmi punca kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
“Buat masa ini, biarlah inkues berjalan dahulu, kita tidak mahu mendahului prosiding mahkamah.
“Segala tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas itu,” katanya.
Mohd Dasuki beritahu demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam, Program Kampung Angkat Madani, Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak di Kota Bharu.
Inkues kematian Zara Qairina bermula Rabu dan Khamis lalu sebelum bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.
Pada 20 Ogos lepas, lima pelajar perempuan berusia bawah 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir pada 15 Julai lalu.
Semua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar kira-kira jam 4.00 pagi pada 16 Julai lalu.
Kes itu mencetuskan perhatian seluruh negara selepas keluarganya mendakwa Zara Qairina menjadi mangsa buli sehingga membawa kepada kematian.- 6/9/2025



