FOKUS

Syarat pembangunan semula Kampong Sungai Baru harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu – Sultan Selangor

`Polimek berkaitan pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur telah mengundang perhatian dari Sultan Selangor.

Pada Khamis baginda mengeluarkan satu kenyataan khusus mengenai hal berkenaan yang antara lain mengingatkan agar keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Pembanguan semula kawasan itu melibatkan pembinaan projek mega yang dikenali sebagai KL City Gateway.

Ia bertujuan mengubah kawasan seluas hampir 8 ekar ini menjadi sebuah pembangunan bercampur moden.

Kawasan berkenaan sangat berharga kerana terletak di tepi Kampong Baru dan mengadap ke KLCC.

Sebahagian besar penduduk di situ setuju dengan perlaksanaan projek itu manakala sebahagian kecil menentang sehingga mencetuskan kontroversi.

Pada 11 September baru ini Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai terkena balingan objek ketika rempuhan sekumpulan individu sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kawasan itu.

BERIKUT IALAH KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR :

Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Selepas membaca maklumbalas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira.

Kampong Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda Beta, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara.

Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.

Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar.

Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka. Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor.

Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu.

Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.

Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur. Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

D.Y.M.M. SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ
SULTAN SELANGOR
Tarikh : 18 September 2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button