FOKUS

Bersatu namakan Muhyiddin calon PM ke 11…

Setelah melalui detik yang Tan Sri Muhyiddin Yassin sifatkan ‘amat memalukan’ yakni kekecohan yang tercetus semasa menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Sabtu malam…kepimpinan beliau terus mendapat dokongan penuh parti itu.

Perhimpunan yang berakhir hari ini Ahad antara lain meluluskan usul menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu.

Beliau pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke lapan untuk tempoh enam belas bulan bermula pada 1 Mac 2020 sehingga 16 Ogos 2021.

Ekoran peristiwa ‘Langkah Sheraton’ Muhyiddin dipilih menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan.

Beliau kemudianya letak jawatan susulan isu sekumpulan Ahli Parlimen BN yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Ini menjadikan tempoh pentabiran beliau sebagai Perdana Menteri paling singkat.

Kelulusan usul menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri ke 11 parti dimaklum oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali menerusi satu kenyataan.

Katanya perhimpunan itu turut menyokong sepenuhnya kepimpinan ahli parlimen Pagoh itu sebagai presiden Bersatu.

Pada Sabtu malam kekecohan meletus hingga mengamatkan keadaan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam semasa Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar Presiden.

Ia tercetus apabila Muhyiddin ketika ucapannya mendakwa ada pihak tertentu usaha untuk mengumpul tandatangan bagi menyingkirkannya.

Ucapan Muhyiddin itu disambut dengan jeritan “tidak benar ” dan Turun Tan Sri!”, sebelum dibalas dengan laungan “Hidup Tan Sri!” dari kumpulan lain.

Situasi kecoh itu menyebabkan sesi berkenaan sedikit terganggu dan tertangguh selama beberapa minit.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan perhimpunan itu hari ini Muhyiddin menegaskan insiden yang berlaku malam tadi adalah sesuatu yang menjejaskan nama baik parti.

“Bila perkara itu tercetus saya tak dapat nyatakan secara terus terang bila media tanya, saya tak tahu.

“Tapi tak apa saudara, meskipun saya kecewa…dalam teks saya kepada (kumpulan) MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi), saya text (tulis) ‘amat memalukan’.

“Saya nyatakan itu bukan kerana menyentuh kedudukan saya sebagai presiden…tetapi bagaimanapun cara kita sebagai ahli nak menjaga nama baik parti

“Sebagai abah (panggilan dalam parti) saya betul kecewa,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang cuba dikaitkan dengan gerakan mahu Muhyiddin berundur menegaskan beliau menjadi penyokong nombor satu yang akan mempertahankan presidennya.

Berucap pada penggulungan perhimpunan itu Hamzah berkata tidak wujud ‘si kitol’ atau pengkhianat dalam Bersatu.

“Tan Sri (Muhyiddin) percayakan saya. Kami sayangkan parti. Kalau mahu pecat (saya), ke mana saya mahu pergi. Ini parti terakhir saya sampai mati. Saya lakukan banyak usaha demi kepentingan parti dan presiden.

Selepas berakhir menyampaikan ucapannya, Hamzah turut dilihat memeluk erat Muhyiddin di pentas utama, sambil diiringi tepukan gemuruh dalam kalangan perwakilan Bersatu.- 7/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button