
Bangunkan sistem amaran awal gempa bumi
Kerajaan perlu membangunkan sistem amaran awal gempa bumi di seluruh negara melalui amaran mudah alih dan siren bagi memperoleh maklumat tepat selain mempercepat tindakan segera demi keselamatan rakyat, demikian tegas Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata, negara tidak mungkin bebas sepenuhnya daripada risiko seismik susulan beberapa siri gempa bumi kecil yang berlaku di Johor baru-baru ini termasuk gegaran yang dirasai di beberapa negeri berhampiran.
Lam Thye berkata, walaupun kebiasaannya gegaran di negara ini adalah kecil, ia tetap tidak dapat dijangka dan boleh mengakibatkan kerosakan serta menimbulkan panik sekiranya tidak bersedia.
“Justeru pemantauan lebih kukuh dengan memetakan semula garisan sesar di seluruh negara serta dipantau menggunakan teknologi seismik moden bagi mengesan risiko lebih awal.
“Selain itu, penguatkuasaan kod bangunan tahan gempa serta kerja-kerja pengukuhan pada sekolah, hospital dan infrastruktur awam mesti diutamakan.
“Pada masa yang sama, latihan kesiapsiagaan gempa bumi dan pendidikan keselamatan perlu dijadikan sebahagian daripada daya tahan komuniti di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam laporan media sebelum ini, beberapa gegaran direkodkan di Segamat pada 24 Ogos lalu iaitu pada jam 6.13 pagi dengan kekuatan 4.1 magnitud, diikuti keesokan harinya pada jam 8.59 pagi dengan bacaan 3.2 magnitud; 7.56 malam, Khamis (2.5) dan 4.24 pagi pada Jumaat (3.4).
Gempa bumi lemah berukuran 2.7 magnitud sekali lagi dikesan di Segamat pada jam 7.29 pagi pada 30 Ogos lalu.
“Dengan kewaspadaan, sistem amaran awal dan infrastruktur yang lebih kukuh, secara tidak langsung ia dapat memastikan rakyat sentiasa dimaklumkan, selamat dan bersedia menghadapi sebarang bencana alam,” katanya.-8/9/2025