TAHUKAH ANDA

Diari peribadi Zara jadi tumpuan keterangan pakar kimia

Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersambung hari ini dengan saksi kedua dari Jabatan Kimia Malaysia dijangka memberi keterangan berhubung diari peribadi milik pelajar berusia 13 tahun itu.

Selain saksi tersebut, doktor perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) juga dijangka tampil memberi keterangan.

Perkembangan ini menyusul selepas saksi pertama, pakar patologi forensik QEH, Dr Jessie Hiu, selesai memberi keterangan selama dua hari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan minggu lalu.

Dr Jessie, yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara pada 10 Ogos, memberi keterangan selama dua hari, iaitu pada 3 dan 4 September.

Prosiding inkues yang dijadualkan sepanjang September kini memasuki hari ketiga.

Untuk minggu ini, prosiding inkues akan berlangsung bermula hari ini, manakala pada Khamis depan Mahkamah Koroner dijadualkan melawat lokasi kejadian, iaitu tempat Allahyarhamah Zara ditemui tidak sedarkan diri. Dr Jessie turut dijangka dipanggil semula semasa lawatan ke lokasi berkenaan.

Inkues bagi menentukan punca kematian Zara dijangka mendengar keterangan daripada keseluruhan 68 saksi, termasuk 35 pelajar bawah umur, pegawai polis, guru serta beberapa lagi pakar.

Zara, seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah agama di Papar, ditemui tidak sedarkan diri di aras bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di QEH.

Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, 45.

Ayah Zara, Mahathir Mohd Hashim, 44, pula diwakili oleh peguam Sherzali Hezra Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang remaja, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan mewakili empat remaja yang lain.

Sabah Law Society (SLS) hadir sebagai peguam pemerhati dan amicus curiae (sahabat mahkamah), manakala Peguam Kanan Persekutuan Dr Norahimah Fitri mewakili Kementerian Pendidikan sebagai peguam pemerhati.-8/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button