
Wanita didakwa lakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dalam kes naik pentas Sambutan Hari Kebangsaan
Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin menjadi tumpuan bila mana Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41,wanita yang cetus insiden cuba dekati Sultan Perak diatas pentas utama ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada 31 Ogos didakwa.
Wanita itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin Shah, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon agar pertuduhan dibacakan tanpa pengakuan diambil memandangkan tertuduh didapati menghidap penyakit skizofrenia ketika proses penahanan dan pemeriksaan awal dibuat.
Pihak pendakwaan turut memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, susulan pemeriksaan dan pemantauan awal mengikut Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi mengesahkan sama ada tertuduh waras semasa kejadian dan boleh membuat pengakuan untuk dibicarakan.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian memerintahkan tertuduh menjalani rawatan lanjut selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK).
Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
Pada 31 Ogos lalu, tertuduh yang memakai kemeja dan seluar hitam dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.
Wanita terbabit kemudiannya direman selama tiga hari sebelum dirujuk ke HBUK, Tanjung Rambutan.- 8/9/2025