FOKUS

Satu lagi kes besar…tokoh korporat Tan Sri Abu Sahid didakwa pecah amanah cadangan projek pembinaan Lebuh Raya MEX II

Ingat balik berita pada bulan Mei lalu dalam siasatan kes pihak SPRM telah sita pelbagai aset termasuk kenderaan mewah, barangan kemas, beg tangan berjenama dan wang tunai bernilai RM32 juta daripada seorang Tan Sri yang disiasat berhubung tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Dalam serbuan di dua buah kediaman milikya di ibu negara media melaporkan SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah sebuah kediaman yang dipercayai bernilai kira-kira RM3 juta.

Hari ini Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed,74 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta.

Kesemua pertuduhan terbabit adalah berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA, bagi pihak Maju Holdings.

Abu Sahid didakwa atas dua kesalahan berasingan. Dalam pertuduhan asas, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Maju Holdings untuk menyalahgunakan dana syarikat berjumlah RM313,124,617.02 menerusi empat kejadian berasingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku pada 3 Mei dan 22 Nov 2016, 20 Jan dan 27 Nov 2017, 8 Jan dan 30 Nov 2018, serta 21 Okt 2019.

Mengikut Seksyen 409, beliau boleh dihukum penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Beliau juga dituduh melakukan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA, dengan memindahkan RM139,252,148.98 daripada akaun peribadi CIMB miliknya ke dalam akaun lima individu dan lima syarikat, serta mengeluarkan wang melalui 15 keping cek.

Kesalahan itu didakwa berlaku dalam 19 transaksi berasingan antara 4 Mei 2016 hingga 20 Okt 2019.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, serta denda lima kali ganda jumlah hasil haram berkenaan atau RM5 juta, mengikut jumlah mana yang lebih tinggi.

Abu Sahid yang dibenarkan berada di luar kandang tertuduh dengan berkerusi roda kerana menghadapi masalah kesihatan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham… tidak mengaku salah,” katanya setiap kali pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Dua orang lagi yang didakwa dalam kes ini ialah isteri Abu Sahid yakni Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi,48 dan bekas pengarah MEX II Sdn Bhd, Yap Wee Leong.

Noor Azrina didakwa menerima RM67,136,588.43 daripada akaun CIMB milik Abu Sahid pada 6 Mac dan 27 Nov 2017 di cawangan sama, di bawah peruntukan AMLATFPUAA.

Yap pula didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam tuntutan berjumlah RM314,486,100 berkaitan perkembangan projek lebuh raya MEX II.

Pendakwaan dibuat di dua Mahkamah Sesyen berasingan. Abu Sahid di depan hakim Suzanna Hussin, manakala Noor Azrina dan Yap di depan hakim Rosli Ahmad.

Maju Holdings juga adalah pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya – KLIA.

Mengikut catatan media pasal latar belakangnya… Abu Sahid Mohamed ialah beliau seorang tokoh korporat Malaysia yang terkenal sebagai pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd.

Beliau memulakan kerjaya perniagaan pada tahun 1977 dengan menubuhkan Maju Alat Ganti Sdn Bhd, sebuah syarikat perdagangan alat ganti kenderaan yang kemudiannya berkembang menjadi syarikat alat ganti Melayu terbesar di Malaysia

Di bawah kepimpinan beliau Maju Holdings berkembang pesat dan menceburi pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembangunan hartanah, pembuatan produk keluli dan perabot, pengangkutan dan logistik, serta perkhidmatan kejuruteraan dan keselamatan .

Salah satu projek infrastruktur utama yang dikendalikan oleh syarikat beliau ialah Lebuhraya Maju Expressway (MEX), yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) .

Abu Sahid juga pernah memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat tersenarai awam. Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif dan pemegang saham utama dalam Perwaja Holdings Berhad dan Kinsteel Bhd, serta terlibat dalam Ipmuda Berhad dan Bright Focus Berhad .

Namun, beliau telah meletakkan jawatan dari beberapa syarikat ini sekitar tahun 2013 hingga 2020.
.
Pada tahun 2025, Maju Holdings disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan kelewatan dan isu kewangan yang melibatkan projek Lebuhraya MEX 2.

Serbuan ke atas pejabat syarikat ini dipercayai berkaitan dengan pengurusan dana dan ketelusan projek tersebut, yang hanya mencapai 89% kemajuan berbanding jadual asal. – 8/9/2025
.

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button