TAHUKAH ANDA

Fahmi lancar PRIME Sabah, perkasakan komunikasi semasa bencana

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam pada Ahad.

PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut MCMC dalam satu kenyataan media, PRIME dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi serta sokongan dron, yang membolehkan operasi menyelamat semasa bencana dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan,

“Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga dijangka disiapkan di Sarawak pada Oktober 2025.,”ujar kenyataan tersebut.

PRIME juga membawa aspirasi ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’, seiring dengan matlamat memperkukuh ketahanan digital negara dan memastikan rakyat kekal dilindungi melalui akses komunikasi yang boleh dipercayai, khususnya dalam saat genting.

Sebagai tambahan kepada peranan utamanya dalam pengurusan kecemasan, PRIME turut berfungsi sebagai platform digital bergerak untuk melaksanakan program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Inisiatif ini membolehkan pelbagai aktiviti penerangan, perkhidmatan digital dan capaian internet dilaksanakan secara terus di lapangan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan jurang digital.

Program HBK kali ini turut diraikan serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di 1,099 NADI seluruh negara, dengan pengisian seperti perkhidmatan pintar, Jualan Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta pameran oleh usahawan NADI.

Selain itu, turut berlangsung penyampaian sumbangan Program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), serta penyerahan surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.-8/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button