
Prabowo rombak kabinet, Menteri Kewangan antara yang dipecat
Hampir dua minggu selepas demonstrasi ganas di seluruh Indonesia yang menyebabkan 10 kematian, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Isnin melakukan rombakan kabinet dengan menggantikan lima menteri dalam barisan Kabinet Merah Putih.
Perkara itu diumumkan Menteri Sekretaris Negara, Prasetyo Hadi, di Kompleks Istana Kepresidenan hari ini.
Menurut Prasetyo, keputusan itu diambil berdasarkan pelbagai pertimbangan, cadangan, dan penilaian berterusan.
“Hari ini, Bapak Presiden memutuskan melakukan perubahan susunan Kabinet Merah Putih pada beberapa jawatan,” katanya.
Demonstrasi di Indonesia bermula dengan kenaikan cukai tanah dan bangunan sebelum merebak melibatkan gaya hidup mewah ahli parlimen yang mendapat elaun besar daripada kerajaan.
Protes berhari-hari yang dilakukan kemudiannya menyebabkan seorang pemandu grab mati dilanggar trak FRU yang membangkitkan kemarahan ramai.
Memetik laporan Kompas, lima kementerian yang terlibat ialah Kementerian Koordinator Bidang Politik dan Keamanan yang sebelum ini dipimpin Budi Gunawan; Kementerian Kewangan yang sebelum ini dipimpin Sri Mulyani; Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia; Kementerian Koperasi yang sebelum ini dipimpin Budi Arie Setiadi; serta Kementerian Pemuda dan Olahraga yang sebelum ini dipimpin Dito Ariotedjo.
Selain itu, Prabowo juga dilaporkan bakal melantik Menteri Haji dan Umrah, yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pengelola Haji (BP Haji), menjadikan kementerian itu sebagai jawatan rasmi dalam kabinet.
Media tempatan melaporkan, lima menteri baharu dilantik termasuk Purbaya Budhi Sadewa (Menteri Kewangan), Mukhtarudin (Menteri Perlindungan Pekerja Migran), Ferry Juliantono (Menteri Koperasi), Mochamad Irfan Yusuf (Menteri Haji dan Umrah) dan Dahnil Anzar Simanjuntak (Wakil Kementerian Haji dan Umrah).-9/9/2025