
Lori guna tayar haus beri alasan tidak relevan bila ditahan – JPJ
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kesal apabila masih terdapat lori yang beroperasi menggunakan tayar haus sehingga mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, alasan tidak munasabah sering diberikan oleh pengusaha bagi mengelakkan tanggungjawab.
“Alasan seperti ‘terlepas pandang’ atau ‘tiada modal’ sudah tidak relevan.
“Pengusaha perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyelenggaraan kenderaan mereka,” katanya pada sidang media Op Khas Gempur Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara, hari ini.
Sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak 1 September hingga 31 Disember 2025 itu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 13,071 notis saman dan menyita 274 kenderaan di seluruh negara.
Antara kesalahan utama yang dikenal pasti termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, kenderaan tiada insurans serta penggunaan tayar yang tidak selamat.
Menurut Muhammad Kifli, JPJ akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan jalan raya.
Beliau menegaskan, pemilik kenderaan yang disita perlu menyelesaikan semua saman tertunggak serta memperbaharui LKM dan insurans sebelum dibenar mengambil semula kenderaan masing-masing.
“Ada lori yang tidak memperbaharui LKM lebih lima tahun. Bayangkan sekiranya berlaku kemalangan, pihak kami yang akan dipertanggungjawabkan,” ujarnya.-10/9/2025