Uncategorized

PM hadir sidang kemuncak tergempar Arab – Islam Isnin ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada Isnin ini bagi membincangkan serangan Israel terhadap negara itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.

“Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam ini akan dihadiri oleh para pemimpin dan wakil-wakil Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan akan didahului oleh Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam pada 14 Sept 2025,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penyertaan Perdana Menteri menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar serta kesinambungan usaha Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan mengecam kekejaman serta keganasan Israel.

Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak itu bagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia akan terus terancam sekiranya Israel dibiarkan mencabuli undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara.

ADS
“Sidang kemuncak ini dijangka meluluskan satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara-negara anggota dalam menangani isu ini,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa lepas, Israel menyerang sebuah kawasan kediaman di Doha yang menempatkan pemimpin Hamas.

Serangan itu meragut nyawa lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar ketika mereka sedang membincangkan cadangan baharu daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan peperangan di Gaza.

Qatar bersama AS dan Mesir sebelum ini menjadi pengantara dalam rundingan bagi menamatkan peperangan itu.

  • Bernama – 13/9/2025

Anwar dijemput hadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Qatar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau menerima jemputan daripada Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, pada 15 September ini.

Menurutnya, perjumpaan itu adalah atas inisiatif Emir Qatar, yang menjemput beberapa pemimpin negara Islam bagi membincangkan situasi terkini di Gaza, susulan serangan berterusan Israel terhadap penduduk Palestin.

“Saya dapat, pagi tadi undangan perjumpaan tergempar ketua-ketua negara Islam di Doha.

“Emir Qatar minta saya turut hadir. Jadi kalau jadual itu betul-betul 15 (September), maka kemungkinan besar saya akan cuba hadir, sebab 16 September itu hari Malaysia, saya perlu ada di sini (Malaysia),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bersama Majlis Pimpinan PKR, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sidang tergempar itu diadakan bagi membincangkan tindakan susulan berhubung krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, terutama selepas peningkatan mendadak dalam serangan udara dan darat Israel.

Beliau turut menjawab kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan ketegasan Malaysia dalam isu Gaza, sambil menegaskan bahawa pendirian negara ini adalah berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

Menurutnya, walaupun Malaysia adalah negara sedang membangun namun negara ini tetap akan bersuara dan bertindak berdasarkan kemampuan sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin.

“Saya nak beritahu semua agama dan budaya kita itu menekankan soal kemanusiaan, janganlah sampai kita bicara soal budaya, soal kemajuan, soal kaum, soal agama tetapi orang, anak-anak kecil dibunuh, rumah dimusnahkan, tidak ada memberi kesan kepada kita.

“Jadi biarlah kita jadi contoh kemanusiaan dan perasaan ihsan, kasih sayang dan itu sahaja yang kita buat kerana kita negara yang sedang berkembang, tapi kita lakukan sebaik upaya kita,” katanya.

Bernama melaporkan bahawa berdasarkan laporan media antarabangsa, sidang kemuncak tergempar itu diadakan untuk membincangkan serangan Israel ke atas Doha, pada Selasa lalu, kononnya menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang dipercayai bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu, membabitkan kira-kira 15 jet pejuang Israel, menyebabkan enam orang terkorban termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.-12/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button