
Tangguh dulu himpunan solidariti untuk Zara Qairina hingga selesai inkues
Pada ketika inkues kes Zara Qairina Mahathir sedang berjalan sekarang…enam peguam yang mewakili ibu Allahyarham meminta semua bentuk perhimpunan aman, termasuk acara nyalaan lilin dan himpunan solidariti, dihentikan sementara sehingga prosiding inkues selesai.
Inkues berkenaan kini memasuki minggu kedua dimana prosiding jangka melibatkan keterangan daripada 70 saksi dan akan bersambung semula pada 17 Sept.
Selama 19 hari ditetapkan untuk inkues berkenaan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bermula 3 September hingga 30 September.
Enam peguam itu terdiri dari Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizan Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu kumpulan peguam berkenaan berkata mereka berpuas hati dengan perkembangan prosiding inkues setakat ini, yang mana enam orang saksi tampil memberikan keterangan.
Sambil menghargai sokongan meluas terhadap kempen Justice for Zara, para peguam berkenaan mengingatkan risiko tindakan pihak “tidak bertanggungjawab” yang boleh mencemarkan imej kempen tersebut.
“Kami menghargai sokongan awam yang diberikan menerusi kempen Justice for Zara, nyalaan lilin, himpunan solidariti, dan juga sumbangan kewangan untuk melantik pakar dari pelbagai bidang bagi menyokong plaintif, iaitu ibu Zara, dalam prosiding inkues ini.
“Kami juga sedar bahawa beberapa individu telah ditahan dan sedang didakwa di mahkamah berhubung ucapan atau komen yang dibuat di media sosial berkaitan kempen Justice For Zara. Kami dan pihak plaintif tidak mahu nama Zara atau slogan tersebut dicemari dengan tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, kami percaya adalah perlu untuk semua perhimpunan awam dihentikan buat sementara sehingga inkues ini selesai, selaras dengan hasrat ibu Zara”.
“Kami percaya semua bentuk perhimpunan solidariti boleh diteruskan selepas prosiding inkues ini selesai.
“Buat masa ini, marilah kita beri ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya. Dengan kesabaran dan keyakinan terhadap proses kehakiman, kebenaran dan keadilan pasti akan ditegakkan,” tambah mereka.
Minggu lalu, seorang individu telah didakwa berhubung hantaran Facebook yang mengandungi ancaman keganasan terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu, yang memberi keterangan dalam prosiding inkues.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pula mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada seorang lagi individu kerana mempertikai keterangan Hiu, yang dianggap boleh mempengaruhi persepsi awam terhadap inkues tersebut.
Pihak AGC juga memaklumkan beberapa individu akan menghadapi pertuduhan kerana memberikan komen mengenai kes itu di media sosial.
Hiu sebelum ini menjadi sasaran kecaman selepas memberi keterangan bahawa hasil forensik menunjukkan Zara terjun dari bangunan sekolahnya, dan bukan ditolak atau terjatuh secara tidak sengaja.
Pertubuhan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Society – SLS) turut mendakwa peguam yang terlibat dalam kes ini telah menerima gangguan secara berterusan.
Selain itu, pada 2 Sept lalu seorang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah ditahan di bawah Akta Hasutan berikutan ucapan yang disampaikan dalam perhimpunan solidariti Justice for Zara, selepas pihak polis menerima 28 laporan daripada orang awam berhubung kenyataan “berunsur hasutan” pelajar tersebut.
Zara, berusia 13 tahun, meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi.
AGC mengarahkan kuburnya digali semula untuk bedah siasat pada 8 Ogos, sebelum mengumumkan inkues rasmi pada 13 Ogos.- 13/9/2025