TAHUKAH ANDA

Wanita rugi RM5juta akibat pelaburan palsu

Polis sedang menyiasat satu kes penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang mengakibatkan kerugian melebihi RM5 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam kenyataan berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang bekerja dalam bidang profesional, dipercayai diperdaya melalui platform pelaburan dikenali sebagai ELTFV.

“Mangsa diperkenalkan mengenai platform ini menerusi media sosial Facebook serta kumpulan pelaburan atas talian dipanggil AB4 Trend Navigation.

“Siasatan awal mendapati mangsa membuat transaksi pertama pada Julai lalu berjumlah RM10,000 sebelum melakukan beberapa pindahan lain sehingga Ogos, dengan keseluruhan kerugian mencecah RM5,030,970,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan meyakinkan mangsa melalui paparan keuntungan awal dalam sistem pelaburan bagi meraih keyakinan.

Selepas itu, mangsa diarahkan memindahkan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal sindiket.

Bagaimanapun, apabila mangsa cuba mengeluarkan semula wang pokok dan keuntungan, transaksi berkenaan gagal dan akses kepada platform pelaburan itu disekat.

“Mangsa kemudian membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mengesahkan platform berkenaan tidak berdaftar serta disenaraikan sebagai entiti pelaburan tidak sah,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.-16/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button