710 kes budak hilang tahun ini, 82.26% lari dari rumah

PETALING JAYA: Polis merekodkan 710 kes kanak-kanak bawah 18 tahun hilang sepanjang tahun ini, dengan faktor utama mereka lari dari rumah kerana ingin bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, berkata 89.3% atau 634 orang dijumpai semula, manakala baki 76 kanak-kanak belum ditemui sehingga kini.
Katanya polis mendapati kehilangan kanak-kanak terbahagi kepada beberapa kategori.
“Lari dari rumah punca paling banyak, iaitu menyumbang 82.26% daripada keseluruhan kes,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata punca menyumbang kepada tindakan lari dari rumah ialah ketidakharmonian dalam keluarga, mengikut kawan atau kekasih, salah faham dengan ahli keluarga, mencari pekerjaan pada usia muda, kurang perhatian keluarga serta tidak minat belajar.
Katanya, faktor kemalangan atau bencana seperti kejadian tanah runtuh, lemas di sungai, sesat di hutan, hilang dalam kebun dan dibaham buaya menyumbang 2.16% daripada keseluruhan kes.
Siti Kamsiah berkata, kategori seterusnya ialah mangsa jenayah yang menyumbang 0.04%, di mana kanak-kanak menjadi mangsa balas dendam dan kemarahan individu tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.
Katanya kanak-kanak yang diculik itu dipercayai didera dan dibunuh suspek dan walaupun jumlahnya paling sedikit, kes sedemikian sangat serius dan sentiasa diberikan fokus sangat tinggi oleh polis.
Beliau berkata kanak-kanak dilarikan ibu atau bapa atau penjaga akibat konflik dalam isu penjagaan anak menyumbang 1.39% daripada keseluruhan kes. Ia turut membabitkan tuntutan hak penjagaan anak, selain isu penjaga sah dan tidak sah.
“Bagi kes hilang tidak diketahui punca adalah 4.15%,” beliau memberi contoh kes seorang ibu di Sarawak yang bangun dari tidur mendapati anaknya berusia 6 tahun hilang.
Menurutnya si ibu mengesyaki anaknya terjatuh dalam sungai kerana mereka tinggal di rumah atas air.
“Tiada kesan pencerobohan dan tiada tuntutan tebusan dibuat mana-mana pihak. Malah, tiada saksi mata yang boleh mengesahkan kejadian.”-8/12/2023