Setakat ini kabinet masih belum menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan pengulas konservatif yang juga penulis, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Khabar mengenai pencalonan Nick Adams yang antara lain diketahui anti-Palestin telah cetuskan bantahan sesetengah pihak.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil kata pada Selasa Kebiasaannya Jemaah Menteri akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai pelantikan mana-mana duta atau perwakilan asing yang baharu.
Fahmi menjelaskan Malaysia berhak untuk menerima atau menolak mana-mana calon yang diusulkan sebagai perwakilan negara asing ke negara ini.
Beliau berkata, pelantikan mana-mana perwakilan asing yang diusulkan perlu mendapat persetujuan kerajaan negara tuan rumah.
“Itu dalam bidang diplomasi. Samalah juga sebelum ini kalau kita teliti sejarah dalam kerajaan menamakan ataupun mencadangkan perwakilan Malaysia ke negara asing perlu mendapat persetujuan daripada the negara tuan rumah,” katanya.
Jumaat lalu, Trump mengumumkan Adams sebagai calon Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.
Adams adalah seorang tokoh konservatif kelahiran Australia, penyokong lantang Trump dan dikenali menerusi usaha advokasinya yang pro-Amerika termasuk penerbitan beberapa buku serta kemunculan dalam media yang memperjuangkan nilai-nilai sayap kanan.
Pencalonannya dijangka melalui proses pengesahan Senat sebelum pelantikan itu dapat dimuktamadkan.
Sementara itu ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam satu kenyataan menggesa supaya kerajaan menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menegaskan, rekod kenyataan dan pendirian Adams yang bersifat ekstrem, anti-Palestin serta menolak prinsip hak asasi manusia sejagat jelas bertentangan dengan nilai masyarakat majmuk dan dasar luar Malaysia.
Menurut Ahmad Fahmi, pihaknya memandang serius pencalonan Nick Adams itu.
“ABIM berpandangan bahawa kedudukan Malaysia sebagai negara yang menjunjung dasar luar berasaskan prinsip MADANI – memperjuangkan maruah insan, solidariti kemanusiaan dan keamanan sejagat wajar dijaga dengan penuh hemah.
“Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk meneliti secara kritikal kesan jangka panjang terhadap hubungan dua hala sekiranya pelantikan ini diteruskan,” katanya.- 15/7/2025