TAHUKAH ANDA

Pemandu Bezza dikejar 28 peronda polis dihukum penjara sebulan

PETALING JAYA: Seorang pemandu Perodua Bezza yang dikejar 28 kereta peronda polis dalam video tular dihukum penjara sebulan dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memandu secara melulu dan menghalang tugas penjawat awam.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha turut mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh B Anbarasan, 27, ditambah lapan bulan lagi jika gagal membayar denda selain lesen memandunya digantung lima tahun, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Anbarasan didapati memandu Perodua Bezza dengan melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna lain di Jalan Utara, pada 1.30 pagi, Selasa lalu.

Anbarasan yang bekerja sebagai pemandu lori tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal.

Dalam tuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen, Anbarasan dan isteri, M Rishlani, 21, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin, atas tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau di pekarangan IPD Petaling Jaya, pada waktu dan hari sama.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Faiz membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dan diarah melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan hingga kes selesai.

Hakim menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini tular video menunjukkan sebuah Perodua Bezza dikejar kereta peronda polis dari Petaling Jaya hingga ke Cyberjaya. Pemandu itu tetap meneruskan perjalanan walaupun dikejar-8/12/2023.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button