
15,000 peserta meriahkan Malaysia Sarong Music Run 2025
Malaysia Sarong Music Run (MSMR) kembali menggegarkan ibu negara sempena sambutan Hari Malaysia 2025 dengan penyertaan lebih 15,000 peserta dari dalam dan luar negara, merangkumi 26 buah negara.
Selain menjadi platform sukan rakyat, MSMR turut menyokong usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, sekali gus menobatkan MSMR sebagai ikon budaya dan pelancongan inklusif negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata program tersebut menjadi wadah penyatuan bangsa dan menyasarkan agar ia akan diteruskan pada tahun akan datang.
“Program ini sangat baik untuk negara kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ia menjadi platform penting dalam mengukuhkan perpaduan serta keharmonian dan saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Datuk Seri Tiong, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan acara pelepasan (flag off) peserta MSMR 2025 di ibu negara, petang tadi.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Dr.Maimunah Mohd Sharif.
Cuaca hujan tidak menghalang para peserta untuk menjayakan acara yang dilihat bukan sekadar larian malah merupakan perjalanan merentasi kepelbagaian tradisi Malaysia dengan gabungan gaya hidup sihat.
“Kita ibarat satu keluarga, sentiasa menyokong dan menyertai setiap acara yang dianjurkan, memang meriah suasananya.
Semua budaya digabungkan bersama iaitu Melayu, Cina, India, malah dengan memakai sarung untuk berlari dalam acara ini menjadikan ia lebih istimewa. Saya rasa bangga kerana kita satu Malaysia dan berpeluang menyertai program seperti ini,” kata Jeyabalachandran Nadarajah dan Eswari Naidu.
Acara ikonik anjuran Malaysia Marathon Official Sdn Bhd itu diadakan di Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Program edisi ketiga tersebut dilihat berkembang sebagai festival masyarakat antarabangsa yang bukan sahaja menampilkan acara larian, tetapi juga mengangkat budaya, busana sarong, muzik, makanan dan gaya hidup sihat sebagai daya tarikan.-21/9/2025