TAHUKAH ANDA

Kestabilan, pengurusan kewangan berhemah kunci kepada pertumbuhan Malaysia – PM

DILI (Timor-Leste) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah telah membolehkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Bercakap pada Majlis Temu Mesra Madani bersama diaspora Malaysia, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sini, beliau berkata, keamanan serta kestabilan adalah asas utama kepada reformasi dalam bidang pendidikan, institusi dan tenaga selain pemacu pendigitalan dan kecerdasan buatan.

Anwar, yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste berkata, kestabilan politik membolehkan Malaysia melaksanakan reformasi secara berperingkat tanpa mencetuskan perpecahan.

“Kita faham bahawa reformasi perlu dilakukan dengan bijaksana, bukan secara keras atau tergesa-gesa. Mengapa kita di Malaysia mencapai kemajuan? Pertama sekali, kerana wujudnya keamanan dan kestabilan politik,” katanya.

Beliau juga berkata, kepimpinan berwibawa, kerjasama antara perkhidmatan awam dan sektor swasta adalah penting dalam menarik pelaburan langsung asing serta mengukuhkan pelaburan domestik sekali gus memastikan ekonomi terus berkembang.

Anwar berkata, tadbir urus yang baik adalah teras kepada kemajuan Malaysia dan memberi peringatan tegas mengenai bahaya gejala rasuah, penyelewengan dan pembaziran.

Menyorot pendekatan fiskal berhemat pentadbirannya, beliau memaklumkan bahawa harga petrol telah berjaya diturunkan kepada RM1.99 seliter iaitu antara yang terendah di dunia hasil daripada proses perolehan yang ketat, penjimatan dalam projek tebatan banjir dan pelaksanaan subsidi bersasar.

Perdana Menteri turut menggesa rakyat Malaysia agar bangkit mengatasi politik perkauman atau wilayah sambil memberi amaran bahawa retorik bersifat perpecahan mampu meruntuhkan negara.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia ke arah pendigitalan, peralihan tenaga, pendidikan dan kesihatan.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Petronas atas penglibatannya di Timor-Leste sebagai manifestasi kerjasama serantau.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin. – Bernama -23/9/2025

PM tiba di Timor-Leste untuk lawatan rasmi, perkukuh hubungan dan sokong hasrat sertai ASEAN

DILI, Timor-Leste: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, hari ini bagi memulakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang bakal dimuktamadkan.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan beliau ialah Presiden Dr José Ramos-Horta, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh dan Ketua Protokol Negara Timor-Leste, Juvencio Martins.

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

Majlis sambutan ketibaan Perdana Menteri turut diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik diikuti penyampaian simbolik kain Tais iaitu tekstil tenunan tradisional yang sarat dengan nilai budaya dan warisan masyarakat Timor-Leste serta persembahan oleh kumpulan kebudayaan dan pancaragam sekolah.

Dalam satu upacara penuh simbolik dan jarang berlaku, Anwar dijemput menyertai Ramos-Horta menaiki Mini Moke, sebuah kenderaan klasik dengan bumbung terbuka yang menjadi pemandangan ikonik dalam acara kenegaraan di Timor-Leste.

Ramos-Horta memandu sendiri kenderaan itu, dengan Anwar duduk di tempat penumpang hadapan di sebelahnya manakala Gusmão mengambil tempat di belakang mereka.

Penggunaan Mini Moke, yang sinonim dengan gaya peribadi Ramos-Horta dan pendekatan mesra rakyat beliau, memberikan sentuhan budaya yang unik ketika ketiga-tiga pemimpin bersama-sama melakukan perjalanan dari lapangan terbang ke sebuah hotel berdekatan.

Kunjungan pertama PM Malaysia dalam 22 tahun

Ini adalah kunjungan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun sekali gus mencerminkan sokongan berterusan negara terhadap aspirasi republik itu untuk menyertai ASEAN.

Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menubuhkan kedutaan di Dili pada malam kemerdekaan Timor-Leste pada Mei 2002, dan hingga kini kekal sebagai antara penyokong kuat negara demokrasi muda itu, yang memiliki hampir 1.4 juta penduduk, sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 rantau itu di Kuala Lumpur bulan depan.

Lawatan itu juga dijangka memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dan lebih 1,000 warga Timor-Leste telah mendapat manfaat daripada latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia manakala 55 pelajarnya sedang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Hubungan ekonomi dan antara rakyat juga semakin berkembang, didorong oleh penerbangan terus Batik Air dari Kuala Lumpur ke Dili yang dilancarkan pada Jun 2025 serta pengenalan kemudahan perjalanan tanpa visa selama 30 hari untuk rakyat Malaysia pada Ogos lepas.

Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai AS$18.72 juta (RM85.68 juta).

Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah AS$18.37 juta (RM84.06 juta) manakala import dari negara itu adalah sebanyak AS$0.35 juta (RM1.62 juta).

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai perdagangan dua hala mencecah AS$6.65 juta (RM26.88 juta) dengan lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia aktif di Timor-Leste dalam pelbagai sektor seperti makanan, hospitaliti, peruncitan serta perkhidmatan automotif. – BERNAMA -23/9/202

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button