
Flotila ke Gaza…kerajaan akan kaji kaedah terbaik bawa pulang peserta Malaysia
Ketika bot-bot yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) pada Khamis dilaporkan berada pada jarak 1,000 kilometer dari Gaza tanda tanya hangat berlegar mengenai nasib 500 peserta termasuk 34 rakyat Malaysia jika Israel terus ‘main kotor’.
Berdasarkan tindak tanduk ganasnya terhadap beberapa misi flotila di masa lampau,ramai kalangan pemerhati menduga rejim zionis itu pasti tidak akan biarkan GSF senang-senang pecahkan kepungan untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Apapun ikut ceritanya anggota misi pelbagai negara itu sudah set untuk berdepan apa jua risiko yang bakal dihadapi.
Israel telah cuba gertak flotila itu dengan melancarkan serangan keatas sebilangan bot misi mengunakan dron.
Al-Jazeera melaporkan pada awal Rabu, dron menyerang sekurang-kurangnya 10 kapal dalam flotila itu.
Akibat serangan, kerosakan material berlaku, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Setakat ini kerajaan Itali dan Sepanyol setuju hantar kapal frigat tentera laut mereka untuk awasi keadaan dan hulur bantuan.
Namun operasi itu hanya terhad pada kawasan sekitar laut antarabangsa sahaja.
“Kami tidak akan dapat menjamin keselamatan setelah mereka meninggalkan perairan antarabangsa dan memasuki perairan negara lain,” kata Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto.
Itali, seperti mana-mana negara, tidak dapat menjamin keselamatan flotila itu jika ia memasuki perairan Israel, kata menteri itu.
“Tanggungjawab kerajaan (Itali) adalah untuk memastikan tiada seorang pun daripada mereka yang berada di atas kapal ini dicederakan, tanpa mengira pandangan atau perbezaan politik mereka … dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan kepada semua orang di atas kapal yang keadaan adalah membimbangkan,”kata Crosetto.
Selari dengan pendirian kerajaan yang sentiasa mendokong apa jua usaha untuk bantu rakyat Palestin,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada Khamis melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di Sepang.

Di situ beliau antara lain telah memberi sokongan moral kepada peserta misi.
Beliau turut berharap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terus memantau situasi tersebut selama 24 jam.
Zahid beri jaminan kerajaan juga akan melihat kaedah terbaik dalam memastikan semua peserta dari Malaysia dapat dibawa pulang dengan selamat selepas misi selesai.
Menurutnya kerajaan akan berhubung dengan negara sahabat bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF.
Timbalan Perdana Menteri berkata barisan peguam juga sudah memberikan nasihat perundangan.
“Oleh kerana kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kita akan meminta pertolongan daripada negara berhampiran dan sahabat kita selama ini untuk membantu sedaya mungkin.
“Ia bukan saja untuk 34 rakyat Malaysia yang berada di sana, tetapi juga lebih 500 lagi peserta rombongan apabila sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan mereka,” katanya.
Zahid beritahu beliau akan menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini berada di New York menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk membincangkan tindakan sewajarnya.
“Saya juga akan berbincang dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai peranan Kementerian Pertahanan termasuk bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.
“Tadi saya turut berbincang dengan Datuk Dr Ahmad Sani Araby (Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) mengenai persediaan membawa pulang 34 rakyat Malaysia selepas misi ini selesai dan kita akan perincikan bentuk bantuan akan diberikan nanti, insya-Allah,” katanya.
Zahid menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat.- 25/9/2025