
Lagi…PM jawab isu subsidi RON95…ada ustaz kata ia zalim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya Jumaat menumpukan ucapan beliau beri penjelasan dan jawab kritikan mengenai Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95) yang akan dilaksana bermula Selasa depan.
Nampaknya masih ada pihak kritik tanpa memahami rasional di sebalik dasar itu atau sengaja hendak putarbelitkan perkara berkaitan program yang menurunkan harga petrol RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter untuk rakyat yang layak.
Anwar yang juga Menteri Kewangan antara lain membangkitkan ada pihak yang marah hanya kerana penurunan harga RON95 sebanyak enam sen memerlukan proses pendaftaran kad pengenalan (Mykad) untuk pengesahan.
Sedangkan,menurut Perdana Menteri langkah itu perlu bagi memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia sahaja.
“Ada ustaz kata ini zalim, dia marah betul,”katanya.
Ini gara-gara seorang yang didakwa pendakwah selebriti mempersoalkan mengenai pelaksanaan subsidi RON95 dengan kuota 300 liter setiap individu bagi setiap bulan.
“Kawan hantar kepada saya, saya dengar dia kata pergi dakwah merata-rata. Minimum (isi minyak) 600 liter.
“Dia tidak fikir sebahagian kita bayar (300 liter) sebahagian orang lain bayar,” katanya.
Menurutnya, beliau bersimpati dengan pihak yang benar-benar memerlukan bantuan, namun menegaskan kerajaan perlu mengelakkan ketirisan yang menguntungkan pihak tidak layak.
“Kalau kita tidak buat begitu, orang lain dapat. Kenapa kita mahu warga asing dapat sedangkan dia bukan rakyat kita, tidak bayar cukai seperti kita?” tegasnya.
Anwar berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan sumber negara memanfaatkan keluarga dan masyarakat tempatan, manakala warga asing perlu membayar harga pasaran.
“Ada yang keliru. Apabila kerajaan turunkan harga untuk warganegara, kita perlu tentukan siapa warganegara. Kalau tidak, orang lain dapat.
Mengulas mengenai kebimbangan ada pihak yang mungkin tercicir ,Perdana Menteri beri jaminan kerajaan akan meneliti rayuan nelayan, pekebun dan pengusaha bot yang layak supaya tidak tercicir daripada menikmati subsidi petrol.
Katanya kerajaan tidak akan menafikan hak golongan yang benar-benar menggunakan petrol untuk aktiviti harian walaupun mereka tiada lesen atau kenderaan berdaftar.
“Katalah dia bukan nelayan tetapi guna bot di Sarawak, Sabah atau Kelantan, kita akan bantu. Kalau benar dia guna RON95, saya jamin kita akan bantu,” katanya.
Anwar berkata mekanisme rayuan dibuka menerusi portal Kementerian Kewangan (MoF) bagi memudahkan golongan itu mengemukakan maklumat dan bukti penggunaan bahan api mereka.
Katanya, langkah itu penting supaya pelaksanaan BUDI95 tidak menimbulkan keresahan dan dapat memberi keadilan kepada semua pihak.
“Jangan ikut sentimen pihak yang mahu membatalkan program ini hanya kerana ada sedikit kelompok yang tercicir. Kita mahu pastikan puluhan juta rakyat dan keluarga mereka terus menerima manfaat,” tegasnya.
Dalam pada itu Anwar menasihatkan rakyat supaya tidak panik atau terburu-buru membuat pembelian petrol pada 30 September kerana harga RON95 kekal pada kadar RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penuh program BUDI95.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu dibuat secara berperingkat dan tidak akan menjejaskan bekalan bahan api di stesen minyak.
“Saya minta rakyat bertenang, jangan gopoh. Harga RM1.99 itu kekal. Tidak perlu beratur panjang atau simpan minyak kerana tiada perubahan harga selepas 30 September,” katanya.
Menurut Anwar, kumpulan pertama yang menikmati manfaat BUDI95 ialah anggota polis dan tentera pada 27 September, diikuti lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September.
“Selepas itu baharu kita laksanakan kepada rakyat keseluruhan pada 30 September,” jelasnya.
Beliau berkata, langkah berperingkat itu diambil bagi mengelak gangguan sistem dan memastikan semua pihak menerima manfaat dengan teratur.
Beliau memberi jaminan bahawa kapasiti pelayan (server) BUDI95 mampu memproses lebih 30,000 transaksi seminit, sekali gus mengelakkan masalah teknikal seperti yang berlaku semasa pelaksanaan SARA.
“Kita belajar daripada pengalaman lalu. Kita tidak mahu berlaku gangguan sehingga rakyat tidak dapat menikmati subsidi,” katanya.- 26/9/2025