FOKUS

Selamat pulang…wira Global Sumud Flotilla (GSF)

Alhamdullilah…setelah melalui debaran dan pelbagai cabaran khususnya dipintas serta ditahan tentera Israel semua 23 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) pada jam 10.07 malam.

Suasana di terminal itu yang penuh sesak dengan anggota keluarga serta pendokong misi gamat dengan laungan ‘Free Palestine’, ‘Hidup Gaza’, ‘Hancur Israel’ serta takbir, selain nyanyian lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dengan diiringi kibaran bendera Malaysia dan Palestin semasa menanti ketibaan mereka dari Istanbul.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, antara yang turut hadir di Balai Ketibaan KLIA1 untuk menyambut ketibaan mereka. – 7/10/2025

Semua peserta GSF Malaysia dijangka tiba di KLIA 1 Selasa malam…

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi kini berada di Istanbul, Turkiye bagi membantu mempermudah urusan bawa pulang semua 23 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang kini berada disana.

Beliau diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segera membawa pulang semua sukarelawan itu ke tanah air dengan selamat.

Turut ke Istanbul bersama beliau ialah Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim.

Kesemua mereka akan berlepas pulang esok Selasa 7 Oktober.

Mereka dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) pada 9.50 malam.

Pada Khamis lalu, 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean dan seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Atas usaha kerajaan Malaysia dan bantuan kerajaan Turkie semua mereka dibebaskan dan berlepas melalui Lapangan Terbang Ramon, Israel menaiki pesawat khas Turkie pada jam 6.45 petang waktu Malaysia Sabtu lalu menuju ke Istanbul.

Peserta Malaysia yang berkenaan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).- 6/10/2025

23 peserta GSF Malaysia dibebaskan…kini berada di Istanbul

Satu lagi episod yang mendebarkan berakhir apabila semua 23 peserta Malaysia dalam Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang ditahan Israel sudah dibebaskan.

Mereka dibawa keluar melalui Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dan kemudian pada jam 6.45 petang Sabtu (waktu Malaysia) diterbangkan dengan pesawat khas kerajaan Turkiye TK6921 menuju ke Istanbul.

Mereka selamat tiba di Istanbul Sabtu malam dan kini berada di kota itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan secara langsung di Facebook beliau, kata , semua aktivis Malaysia berkenaan dijangka mula pulang ke tanah air, esok malam atau lusa.

Anwar menjelaskan kejayaan ini hasil kerjasama khsusnya dengan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan.

“Melalui kerjasama penuh Kerajaan Turkiye, ini langkah menyusul rundingan diplomatik yang agak panjang, termasuk (menerusi) Kementerian Luar (oleh Menterinya) Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco (Antonio) Rubio.

“Selain itu, Kerajaan Jordan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; wakil khas Presiden AS, Steve Witkoff; dan saya sendiri dengan Perdana Menteri Qatar serta Ketua Keselamatan Negara Turkiye, Dr Ibrahim Kalin,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu terdahulu ada tiga anggota misi GSF dari Malaysia yang keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel.

“Namun, pendapat kita ialah untuk mereka bersetuju dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, untuk mengajak semua pulang,” katanya.

Menurut Anwar semua rundingan ini tidak hanya terbatas pada keselamatan rakyat Malaysia dan Turkiye.

Katanya ia juga melibatkan semua peserta yang ditahan termasuk Eropah, rakan Indonesia dan lain-lain negara yang bersama dalam rombongan pembebasan Sumud Flotilla.

Peserta Malaysia dalam misi GSF terdiri dari penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

A Malaysian activist, one of those who were sailing aboard vessels from the Global Sumud Flotilla, which were seized by Israeli forces, carries a Palestinian flag after arriving at Istanbul Airport on a special flight, in Istanbul, Turkey, October 4, 2025. REUTERS/Umit Bektas TPX IMAGES OF THE DAY

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF semuanya disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.- 4/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button