
DUN Sabah bubar untuk PRN ke 17….
Segala teka teki sudah berakhir…kini sah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar, membuka laluan untuk pilihan raya negeri ke-17.
Pembubaran itu diumum oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor awal petang ini.
Beliau buat pengumuman berkenaan pada jam 2.54 petang semasa majlis bersama wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Menara Kinabalu, pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Dengan pembubaran ini bermakna PRN wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari sekarang ikut tarikh yang akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya nanti.

PRN ini dijangka diadakan sekitar pertengahan November hingga awal Disember 2025.
DUN Sabah secara automatik akan terbubar dengan sendiri pada 11 November ini jika tiada pengumuman dibuat oleh kerajaan negeri.
Pada jam 8.51 pagi ini Hajiji telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri of Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota Kabinet Negeri.
Presiden parti komponen GRS turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fa dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman.
Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), serta pemimpin PH Sabah lain antaranya Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Seramai 1.7 juta rakyat negeri itu layak mengundi pada PRN ini.
Mereka akan memilih 73 ahli Dewan Undangan Negeri.
DUN Sabah semuanya ada 79 kerusi.Enam kerusi lagi adalah ADUN dilantik.
PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai BERSATU, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan PAS.
Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin BERSATU telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum BERSATU kemudiannya digugurkan daripada GRS.
Pada Januari 2023, BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Khamis lalu Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata beliau memaklumkan STAR serta SAPP akan bertanding secara berasingan pada PRN Sabah ke-17, dengan menggunakan logo parti masing-masing.
Tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti terbabit tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS, berikutan keputusan Majlis Tertinggi yang menetapkan bahawa mana-mana parti komponen bertanding menggunakan logo sendiri akan terkeluar daripada gabungan.- 6/10/2025