
Apa nak jadi?…lagi kes pelajar sekolah rogol berkumpulan
Ketika Jabatan Peguam Negara hari ini memutuskan hendak dakwa empat pelajar kes rogol berkumpulan seorang pelajar tingkatan tiga di Alor Gajah Melaka pada 2 Oktober lalu….satu lagi kes pelajar rogol berkumpulan muncul di Baling,Kedah pula.
Kes terbaru ini terbongkar selepas seorang lelaki berusia 53 tahun pada jam 11 pagi Ahad lalu mengadu penularan rakaman video anaknya berbogel.
Ekoran itu empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah dalam daerah Baling ditahan polis pada jam 9.30 malam pada hari sama untuk bantu siasatan kerana disyaki terbabit rogol secara berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.
Hal ini dimaklum oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali.
Menurutnya hasil siasatan lanjut mendapati, empat suspek terbabit didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kelas sekolah berkenaan.
Beliau memberitahu berikutan itu, semua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap dan polis merampas enam telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
Ahmad Salimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak.
Katanya, polis memandang serius kejadian ini dan meminta orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga supaya memantau kegiatan dan pergerakan anak-anak terutamanya dalam kalangan remaja.
Sementara itu dalam kes di Melaka,Jabatan Peguam Negara beritahu menerusi satu kenyataan pada Khamis ia memutuskan untuk mendakwa individu terbabit rogol pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka mengikut Seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan [Akta 574].
Mereka akan turut didakwa mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] hari ini di Mahkamah Majistret Melaka yang mempunyai bidang kuasa setempat (local jurisdiction).
Katanya keputusan pendakwaan berkenaan diputuskan selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka telah dirogol.
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu terbabit.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah, khususnya yang membabitkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
Seksyen 375B adalah hukuman bagi kesalahan rogol. Seksyen ini menetapkan hukuman bagi kesalahan rogol seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 375. Sesiapa yang melakukan kesalahan rogol hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebatan.
Jika seseorang disabitkan bersalah kerana merogol, dia boleh dipenjara antara 5 hingga 20 tahun, dan disebat.
Sementara itu, Seksyen 377B adalah berkaitan hubungan seks luar tabii. Seksyen ini melibatkan perbuatan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, iaitu liwat atau seks oral.
Teks ringkas undang-undang: Sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dengan seseorang lain hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebatan.
Maksudnya, mana-mana individu yang disabit melakukan liwat atau seks oral secara sukarela atau tanpa kerelaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan reman empat pelajar Tingkatan 5 bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah di sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah tahanan reman terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana, hingga 16 Oktober.
Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
Kejadian rogol bergilir-gilir itu didakwa berlaku jam 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Mangsa dikatakan diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit. – 16 /10/2025
Kes rogol bergilir pelajar tingkatan tiga : Empat pelajar tingkatan lima suspek kes dibuang sekolah merta merta
Tiada maaf bagi mu…empat pelajar tingkatan lima yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah,Melaka terima akibat dari perbuatan mereka.
Lembaga Tata Tertib Sekolah yang bersidang pada hari ini buat keputusan mereka dibuang sekolah serta merta.
Keputusan itu diumum Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam satu sidang akhbar khas di Putrajaya.
Beliau juga berkata kebenaran menduduki SPM itu tidak bermakna mereka terlepas daripada hukuman.
“Suspek yang terlibat tidak akan mengambil SPM di sekolah.
“Sebaliknya mereka akan berada di tempat yang ditetapkan, sama ada di pusat tahanan atau di tempat yang berasingan daripada pusat di sekolah,”katanya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis yang masih berjalan.
“KPM berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses siasatan yang sedang berjalan. Kita inginkan keadilan dapat ditegakkan dan sesiapa saja yang bersalah, KPM bertegas mereka perlu dihukum,” tegas Dr Mohd Azam.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memberi jaminan suspek kes rogol di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka itu akan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan perundangan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskana faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.
Ini kerana tindakan merogol adalah perbuatan jenayah dengan pertuduhan ke atas suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan, bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.
Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir tersebut berlaku sekitar 2.50 petang pada 2 Oktober lepas dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah dan perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.
Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.
Kelmarin, empat pelajar yang berkenaan direman enam hari sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas pelajar perempuan Tingkatan Tiga itu.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana ke atas semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
Dalam pada itu Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam keras keputusan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membenarkan empat suspek tersebut untuk menduduki peperiksaan SPM.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid dalam satu kenyataan menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil pendekatan terlalu terbuka iaitu pendidikan adalah hak untuk semua.
Pada masa sama, kata beliau, pendirian tersebut dilihat terlalu berlembut dan tidak mengambil kira keberatan kes secara menyeluruh.
“Memahami bahawa mereka belum didapati bersalah di bawah Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan tetapi insiden tersebut telah menggemparkan negara.
“Kes ini melibatkan empat pelajar lelaki yang lebih dewasa, jenayah ini juga terancang dan setiap pelajar diberi peranan iaitu merogol, merakam, memastikan tangga terdekat dikawal dan akhirnya menyebar rakaman.
“Tambahan pula, jenayah ini berlaku pada waktu persekolahan di dalam bilik darjah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk menuntut ilmu,” katanya.- 13/10/2025
Empat suspek rogol pelajar di sekolah direman
Empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar SR Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka bagi membantu siasatan.
“Reman ke atas kesemua suspek bermula hari ini hingga 16 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.
“Kes melibatkan mangsa berusia 15 tahun ini masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir tersebut berlaku sekitar 2.50 petang pada 2 Okt lepas dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah dan perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.
Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.
- Bernama – 11/10/2025



