TAHUKAH ANDA

Kehadiran Trump dibuat secara konsensus anggota ASEAN

Mahu tidak mahu kita perlu menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini kerana jemputan ke atas orang paling berkuasa di dunia itu dibuat secara konsensus oleh semua negara anggota ASEAN.

Mengulas kekeliruan orang ramai yang berpendapat Trump hadir atas jemputan Malaysia, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata walaupun kehadiran Trump mencetuskan polemik, Malaysia perlu akur kerana keputusan itu dibuat secara konsensus.

“Malaysia tidak boleh buat keputusan sendiri sebaliknya ia diputuskan oleh ASEAN yang dibuat secara konsensus. Kalau nak tolak pun secara konsensus, jadi semuanya (pemimpin negara ASEAN) telah bersetuju secara konsensus pada awal tahun ini untuk menjemput Presiden Donald Trump.

“Tak bolehlah Malaysia mengatakan kita tidak mahu menjemput Presiden Donald Trump kerana ini adalah majlis Sidang Kemuncak ASEAN dan kita cuma menjadi tuan rumah ataupun Pengerusi ASEAN.

“Selaku Pengerusi ASEAN mesti akur kepada keputusan (ketua-ketua negara) ASEAN. Saya minta rakyat Malaysia faham keadaan ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan Deepavali dan pendidikan di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Mohamad berkata, bukan sahaja Malaysia, malah negara-negara ASEAN lain akan mendapat banyak ruang untuk berbicara secara terus dengan Presiden AS.

“Kita boleh membawa banyak lagi perkara yang akan mendatangkan faedah kepada Malaysia termasuk dalam soal tarif, malah banyak perkara yang diminta oleh Amerika Syarikat kita tak akan setuju kerana ia juga berkaitan dengan Perlembagaan negara kita.

“Dalam masa yang sama kita nak juga pastikan usaha mewujudkan negara Palestin dapat disegerakan, kalau tak tahun ini boleh jadi tahun hadapan.

“Saya yakin beliau akan faham apabila kita dapat bersemuka dengan beliau,” katanya.-13/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button