SUARA PEMBACA

Iran ragu Israel akan patuh gencatan senjata Gaza

Iran menyatakan keraguan terhadap kesungguhan Israel untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata di Gaza yang mula berkuat kuasa sehari sebelumnya, selepas lebih dua tahun konflik berdarah melanda wilayah itu.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata negaranya tidak mempercayai rejim Zionis untuk menghormati sebarang perjanjian damai berdasarkan rekod pelanggaran terdahulu termasuk di Lubnan.

“Kami memberi amaran mengenai helah dan pengkhianatan rejim Zionis terhadap perjanjian-perjanjian sebelum ini…Tiada sebarang kepercayaan terhadap rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Bagaimanapun, Araghchi menegaskan Iran tetap menyokong gencatan senjata tersebut selagi ia membantu menghentikan keganasan ke atas penduduk Palestin.

“Sebarang rancangan yang bertujuan menghentikan jenayah rejim ini sentiasa mendapat sokongan kami,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan pada Khamis lalu, Kementerian Luar Iran menegaskan republik Islam itu menyokong sebarang tindakan yang merangkumi penghentian peperangan, pengunduran tentera penjajah, penghantaran bantuan kemanusiaan, pembebasan tahanan Palestin, serta penegakan hak asasi rakyat Palestin.

Iran dan Israel sebelum ini terlibat dalam perang selama 12 hari pada Jun lalu, yang tercetus selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran.

Araghchi turut memaklumkan Iran telah menerima mesej yang disampaikan melalui Rusia, Israel tidak berhasrat memulakan konfrontasi baharu dengan republik Islam itu.

“Difahamkan tiga atau empat hari lalu telah berlaku panggilan telefon antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin,” katanya.

Menurutnya, dalam perbualan itu Netanyahu menegaskan beliau tidak berniat memulakan semula peperangan dengan Iran dan mesej tersebut telah disampaikan kepada duta Iran di Moscow.-13/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button