
Perang rasuah… RM15 bilion diselamatkan dalam masa dua tahun
Bukan sikit-sikit… lebih RM15 bilion diselamatkan kerajaan melalui kempen membenteras rasuah sejak dua tahun lalu dedah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memberikan sokongan penuh kepada semua agensi penguat kuasa dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
Menurut Anwar, kerajaan mempunyai tekad jelas untuk memastikan sistem pentadbiran yang lebih telus dan berintegriti.
“Saya sendiri beri sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada tindakan tegas agensi penguat kuasa. Namun, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Saya ajak seluruh penjawat awam untuk turut berubah kerana hampir setiap hari ada laporan tangkapan berkaitan rasuah. Negara apa ini?” katanya.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu, usaha memperkukuh badan penguat kuasa semakin menunjukkan hasil positif.
“Pada 2023 saya tekankan aspek penguatkuasaan, dan tahun ini kita sudah nampak peningkatan. Dalam tempoh dua tahun sahaja, kita berjaya menyelamatkan RM15 bilion hasil negara daripada penyeludupan, ketirisan dan rasuah. Saya ucapkan tahniah kepada semua agensi terlibat,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata demikian pada Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Oktober 2025, pagi Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut mengingatkan ketua jabatan agar tidak melindungi sebarang salah laku di peringkat pentadbiran masing-masing.
Beliau menyeru penjawat awam menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab dan memanfaatkan tempoh perkhidmatan untuk memberi sumbangan terbaik demi masa depan negara.
Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Jumaat, Anwar menegaskan rakyat akan terus menikmati lebih banyak manfaat tanpa perlu berdepan sebarang kenaikan cukai.
Beliau berkata, perkara itu dapat dicapai hasil pelaksanaan tatakelola yang baik serta penguatkuasaan berkesan dalam mengurangkan ketirisan dan rasuah yang merugikan hasil negara.
“Bayangkan, kita boleh beri lebih banyak manfaat kepada rakyat tanpa menaikkan cukai, termasuk kepada penjawat awam, pelajar universiti dan dalam kemudahan kesihatan. Lazimnya untuk berikan lebih, kerajaan perlu kenakan cukai tambahan.
“Tetapi sebelum memikirkan cukai baharu yang membebankan rakyat, kita perlu perbaiki sistem pentadbiran sedia ada dan pastikan ia cekap serta bebas daripada ketirisan dan rasuah,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu membuktikan pentadbiran kerajaan yang telus dan berakauntabiliti mampu menjana hasil lebih besar tanpa menambah beban kepada rakyat.-13/10/2025