Bekas Setiausaha Sulit dakwa gerakan jatuhkan Muhyiddin sudah bermula agak lama…
Gerakan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin sebenarnya sudah bermula agak lama. Sebaik sahaja beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021, saya perhatikan ada perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti.
Mereka telah mula menjauhkan diri dari Tan Sri Muhyiddin. Arahan-arahan beliau tidak diambil serius malah mesej-mesej yang dihantar ke telefon berhari-hari tidak dijawab.
Malah, seorang pemimpin sayap muda parti yang boleh dikatakan “anak emas” Tan Sri Muhyiddin, mula bercakap secara terang-terangan Tan Sri Muhyiddin tidak lagi relevan.
Maklumlah, walaupun sebagai Ketua Parti, beliau tidak berjawatan di dalam kabinet. Sedangkan yang lain-lain itu Menteri dengan kuasa dan pengaruh yang besar.
Susah juga sebenarnya apabila menjadi Ketua Parti yang tiada jawatan dalam kerajaan. Ketua dipandang sebelah mata.
Melihat keadaan ini, pada suatu petang sebelum PRU 15 saya bersembang santai dengan Tan Sri Muhyiddin. Saya kata kepada beliau, “Tan Sri tak terfikir ke nak bersara?” Saya katakan begitu sebab saya melihat kesukaran yang beliau hadapi dalam memimpin parti.
Sudah lah beberapa orang kanan parti tidak hormat kepada beliau lagi, parti tiada wang dan PAS juga pada masa itu masih belum memutuskan samada hendak bekerjasama dengan BERSATU atau dengan UMNO.
Saya beritahu beliau kalau PAS memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, BERSATU dan PN mungkin berkubur dalam PRU-15.
Beliau jawab dengan tenang kepada saya. Beliau kata kalau memikirkan tentang dirinya, sudah lama beliau berhenti. Itu pilihan yang paling mudah untuk beliau dan paling disukai oleh ahli keluarganya.
Tetapi sebagai Ketua Parti beliau ada tanggungjawab. Takkan beliau nak berundur tatkala bala tenteranya sedang menghadapi perang. Itu akan memberikan kekalahan moral kepada PN sebelum turun berjuang di medan pilihanraya umum.
Akhirnya kami cakap buang saja lah pada petang itu. Kami menyimpulkan walau susah macamana pun, “Let’s give GE15 our last hurrah”. Kalau menang, menanglah. Kalau kalah, kalah lah.
Namun berundur tidak sekali. Biar putih tulang, jangan putih mata.
Ditakdirkan Allah, PAS memilih untuk bersama PN dan gelombang “Abah” menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN.
Hasilnya, PN menang 74 kerusi Parlimen pada cubaan kali pertamanya bertanding dalam Pilihanraya Umum. PN bukan parti nyamuk yang akan hilang sekelip mata seperti tanggapan sesetengah orang.
Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN kemudiannya telah mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, nasib masih tidak menyebelahi beliau. Takdir Ilahi telah menentukan beliau bukan PM ke-10.
Disebabkan kegagalan PN membentuk kerajaan selepas PRU-15, saya perhatikan keadaan menjadi semakin mencabar buat Tan Sri Muhyiddin. He is standing on a slippery slope.
Di dalam parti, sudah mula kedengaran suara-suara yang menyalahkan beliau di atas kegagalan PN membentuk kerajaan. Ketegasan beliau mempertahankan prinsip untuk tidak bekerjasama dengan PH mula dipersoalkan.
Apa lagi di luar parti. Untuk mematikan hayat politiknya, beliau didakwa di mahkamah atas suatu kesalahan yang tidak diketahui dalam undang-undang. “An offence unknown in law” seperti keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan beliau.
Kemenangan besar PN dalam PRN 2023 dan tahap populariti Tan Sri Muhyiddin yang paling tinggi dalam kalangan pemimpin PN tidak menghentikan gerakan menjatuhkan beliau. Bagi kumpulan yang ingin menjatuhkannya, Tan Sri Muhyiddin dilihat sebagai liabiliti kepada PN.
Sejak itu, semakin banyak maklumat yang saya terima tentang gerakan untuk menikam beliau dari belakang. Di depan beliau disanjung, tetapi di belakang pedang sedang diasah untuk dihunus apabila tiba masanya.
Maklumat ini pada awalnya saya tidak sampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin kerana saya tahu beliau tidak suka dengar cerita-cerita buruk tentang partinya. Lebih-lebih lagi gerakan itu melibatkan orang kepercayaannya.
Jadi pada masa itu maklumat ini saya anggap seperti cerita kedai kopi yang masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saya.
Dipetik dari laman facebook bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Dr Marzuki Mohamad – 28/10/2025

Krisis Bersatu makin gawat…
Tandatanya terus berlegar mengenai masa depan Bersatu setelah krisis kepimpinan parti itu nampaknya makin gawat dari hari ke hari kebelakangan ini.
Pertikaian masih bertumpu pada kedudukan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin,Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Kalangan yang dikatakan menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin nampaknya sudah tidak dapat berkompromi mahu peralihan kepimpinan.
Mereka berpendirian Muhyiddin harus mematuhi pelan peralihan kepimpinan yang telah dipersetujui, di mana Hamzah akan menjadi presiden baru parti.
Bagi mereka ketiga tiga pemimpin berkenaan harus ‘berundur’ demi keutuhan parti khususnya dalam mengharungi pilihanraya umum ke 16 nanti.
Namun setakat ini belum ada tanda tanda mereka akan angkat bendera putih untuk beri laluan kepada desakan berkenaan.
Dalam pada itu Hamzah pula dilihat ‘menyepi’ dalam kemelut ini.
Pada 14 Oktober lalu Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan gantung keahlian Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama sepenggal kerana buat kritikan terbuka.
Pada hari ini Ahad senario dalam parti itu bergegar dengan desakan dari seorang lagi Ahli Parlimen yakni Datuk Saifuddin Abdullah.
Wakil rakyat Bersatu dari Indera Mahkota,Pahang itu menerusi satu kenyataan menyuarakan desakan yang sama terhadap Muhyiddin,Azmin dan Tun Faisal.
Baginya Muhyiddin perlu berundur daripada jawatan presiden dan memberi laluan kepada kepimpinan baru manakala Azmin digugurkan dari jawatan Setiausaha Agung dan jawatan Ketua Penerangan yang disandang Tun Faisal diganti.
Menurutnya Azmin perlu digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung bagi membersihkan parti daripada masalah moral yang menjejaskan reputasinya.
Ia dipercayai merujuk kepada skandal video di sebuah hotel di Sabah Azmin enam tahun lalu.
Kenyataan Saifuddin disokong oleh ketua bahagian Bersatu Pasir Salak, Puchong, Dungun, Jasin dan Selayang.
Sementara itu Ketua bahagian Bersatu Dungun,Terengganu Abdul Aziz Ismail dalam kenyataan berasingan pada Ahad membuat desakan sama terhadap ketiga mereka.
Beliau menegaskan Bersatu perlu buat perubahan strategik demi masa depan parti.
Pada waktu yang sama kemelut parti ini terus panas dengan pelbagai pendedahan dibuat oleh Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal dalam interbiu sebagai tetamu undangan di beberapa podcast.
Semalam Azmin dilaporkan telah keluarkan pekeliling pada pimpinan dan ahli Bersatu agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Azmin mengingatkan tindakan sedemikian dianggap pelanggaran serius terhadap perlembagaan dan kod etika parti.
Beliau menegaskan ahli parti terikat dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu, yang memperincikan tanggungjawab setiap ahli untuk mendukung matlamat parti dan melaksanakan dasar-dasarnya.
Katanya lagi, Fasal 9.1.4 secara khusus mewajibkan ahli untuk mematuhi perlembagaan parti serta peraturan kod etika dan tatakelakuan ahli parti.
“Mereka yang telah dijatuhkan hukuman sewajarnya menggunakan peruntukan selaras dengan Fasal 22.6 Perlembagaan Parti untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dan tidak bertindak di luar batas-batas Perlembagaan Parti.
“Adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak di luar parti, termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman oleh parti, untuk menghasut ahli-ahli parti dan membuat kenyataan yang mencemar nama baik dan maruah parti,” katanya lagi.- 26/10/2025



