Saturday - 26, April 2025

Penipuan melalui panggilan telefon pilihan utama ‘scammer’

Share

Farah Marshita Abdul Patah – Disember 9, 2023 @ 6:12pm

KUALA LUMPUR: Malaysia disenaraikan di tangga kelapan dalam kalangan 11 negara ASEAN berhubung tahap keyakinan dalam mengenal pasti cubaan jenayah penipuan dalam talian.

Dapatan itu terkandung dalam Laporan ‘Scam Asia 2023’ terbitan ‘Global Anti-Scam Alliance’ (GASA) dan Gogolook, pengendali aplikasi ‘Whoscall Malaysia’ bertujuan membanteras jenayah komersial yang membolehkan pengguna mengetahui identiti pemanggil dan mengenal pasti nombor disyaki ‘scammer’.

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo, berkata ketidakupayaan mengenal pasti penipuan dalam talian adalah faktor utama risiko ditipu dengan panggilan telefon menjadi medium utama digunakan ‘scammer’ di Malaysia pada kadar 82.7 peratus, diikuti khidmat pesanan ringkas atau SMS (51.5 peratus) dan aplikasi mesej (42.9 peratus).

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif melalui pemberian sejuta akaun ‘Whoscall Premium’ dengan penggunaan selama setahun bertujuan membantu melindungi rakyat negara ini daripada penipuan dalam talian.

“Langganan setahun ‘Whoscall Premium’ memberikan pengguna akses kepada pelbagai alat antipenipuan seperti ID pemanggil, sekat panggilan ‘spam’ secara automatik, kemas kini pangkalan data dan ciri terbaharu, iaitu panggilan ‘ID Whatsapp’ dan pengimbas URL tanpa iklan,” katanya.

Joo memberitahu demikian pada Karnival Scam Free Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Pameran Pavillion Bukit Jalil, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Tambahnya, dengan perkongsian data daripada portal JSJK, pihaknya dapat menambah penandaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada panggilan yang tidak diketahui di bawah label ‘scammer’, kaedah yang terbukti sangat berjaya dalam mengelakkan rakyat negara ini daripada menerima panggilan penipuan.

“Data dikumpul selama 11 bulan menunjukkan kadar menjawab panggilan penipuan dalam talian turun 50 peratus antara Januari hingga November lalu. Pencapaian lain dalam tempoh sama, 41 peratus nombor penipuan dalam talian disediakan portal JSJK PDRM sudah disekat pengguna ‘Whoscall’,” katanya.

Katanya, Laporan ‘Scam Asia 2023’ menunjukkan pentingnya langkah pencegahan dibuat dalam waktu sebenar dan ‘Whoscall Malaysia’ bersedia menjadi ‘barisan pertahanan pertama’ dalam mencegah jenayah berkenaan.

“‘Whoscall’ dilengkapi aplikasi teknologi antipenipuan berkualiti dan ada pangkalan data terbesar di Asia Tenggara serta Asia Timur dengan 2.6 bilion entri nombor dan lebih 100 juta muat turun. Pemberian sejuta ‘Whoscall Premium’ dapat bantu melindungi sejuta rakyat Malaysia daripada ‘scammers’,” katanya.

Read more

khabar terbaru