
Mana mungkin Kabinet akan bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang menjejaskan kedaulatan negara…
“Mana mungkin Malaysia sampai ke tahap menjual kedaulatan negara?. Ini mustahil.
Itu kata jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika menegaskan dakwaan bahawa perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat menggugat kedaulatan negara adalah tidak benar,
“Tidak mungkin Kabinet atau Jemaah Menteri akan bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang menjejaskan kedaulatan negara. Semua perjanjian akan diteliti oleh AGC terlebih dahulu kerana fungsi dan tanggungjawab AGC adalah menasihati kerajaan,”katanya.
Fahmi menjelaskan setiap perjanjian perdagangan yang dimeterai kerajaan melalui proses penelitian yang rapi, termasuk oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), bagi memastikan kepentingan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Beliau mengulas hal berkenaan yang hangat berlegar semasa kehadiran Presiden Amerika Donald Trump pada Sidang Kemuncak Asean yang berakhir Selasa ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi menegaskan bahawa tohmahan kononnya kerajaan menjual kedaulatan negara melalui perjanjian perdagangan itu bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Kedaulatan negara tidak pernah tergadai. Satu-satunya ketika ia tercabar ialah sewaktu Pulau Batu Puteh dilepaskan, dan itu amat dikesali. Selain daripada itu, tidak pernah berlaku,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung Ahad lepas, Malaysia dan AS telah memeterai perjanjian komprehensif bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat daya tahan rantaian bekalan.
Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS, termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam dan kenderaan penumpang, selain produk pertanian seperti tenusu, ayam itik dan beras.
Sebagai timbal balas, AS akan mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus terhadap barangan Malaysia, manakala beberapa produk terpilih akan menikmati kadar sifar (0 peratus) di bawah kategori rakan kongsi sejajar.
Malaysia turut bersetuju untuk tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS, serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi menjamin kestabilan dan kepastian dalam peningkatan kapasiti pengeluaran negara.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir semalam merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Sidang kemuncak itu juga menandakan kemuncak Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, sebelum Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2026.
Sementara itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan dakwaan sesetengah pihak kononnya perjanjian itu sebagai ‘menjual negara’ amat tidak tepat sama sekali.
Katanya Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, pendekatan whole-of-government (keseluruhan negara) dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus dilindungi dalam memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat.
Menurut beliau kerajaan tidak berganjak pendirian dalam perkara melibatkan isu “red line” (isu tidak boleh dikompromi) khususnya hak bumiputera, dasar perolehan kerajaan dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya bagi sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi.
“Jika kita bagi kesemuanya (isu “red line”), tiada jaminan kita akan diberikan tarif lebih rendah. Ini hakikatnya. Tetapi kita tetap dengan pendirian kita, pertahankan kepentingan negara, tidak berganjak walaupun seinci.
“Ini soal maruah dan kedaulatan negara. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kerajaan tidak akan sekali-kali mengizinkan kedaulatan kita diganggu-gugat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri berhubung memelihara dan mengukuhkan daya saing perdagangan dan pelaburan Malaysia dalam mendepani cabaran geoekonomi global menerusi Perjanjian ART Malaysia-AS, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tengku Zafrul berkata, selain itu, berdasarkan kelonggaran yang diberikan oleh Amerika berbanding dengan tuntutan awal, Perjanjian ART disifatkan sebagai kesepakatan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, termasuk sektor perniagaan dan eksport Malaysia.
“Kenyataan ini disokong oleh pelbagai persatuan industri tempatan. Malah, ramai dalam komuniti industri memberitahu MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) secara terus terang, kalau rundingan ini gagal, mereka bukan hanya rugi keuntungan, mereka mungkin terpaksa menutup operasi dan memberhentikan pekerja Malaysia.
“Pendekatan Malaysia dalam rundingan ART berasaskan prinsip keterbukaan dan kepentingan jangka panjang nasional, berpaksikan perlindungan bagi kelangsungan syarikat, termasuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan rakyat Malaysia yang terlibat dalam pasaran AS,” katanya.
Beliau berkata rundingan itu tidak bermaksud persetujuan mutlak negara terhadap semua syarat yang dikemukakan AS, sebaliknya perjanjian itu menjanjikan ruang untuk Malaysia memastikan peluang berbincang dan berunding sentiasa terbuka agar isu dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kepentingan dan kedaulatan negara.
“Perjanjian ART ini bukan cek kosong kepada Amerika, ia ialah ‘pagar’ yang kita bina, supaya apa-apa tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral,” katanya sambil menambah hasil rundingan perlu dirujuk kepada kementerian berkenaan untuk mendapat maklum balas seterusnya dan dibincang serta diputuskan Kabinet.
Beliau juga menyifatkan proses rundingan itu amat rumit dan mencabar dalam keadaan Malaysia sedang dikenakan tarif selain tekanan masa.
“Perjanjian tarif timbal balas unilateral ini adalah sesuatu benar-benar unprecedented (tidak pernah berlaku sebelum ini). Kita bukan berunding FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) biasa yang selalunya mengambil masa bertahun-tahun dengan paling cepat 18 bulan.
“Kita berunding dalam keadaan Malaysia dikenakan tarif. Tekanan masa bukan ditentukan Putrajaya, tapi datang dari Washington. Inilah sebabnya rundingan ini menjadi antara yang terpantas dan paling rumit dalam sejarah rundingan perjanjian perdagangan negara,” katanya.
Tengku Zafrul berkata dunia memerhati bagaimana Malaysia bertindak balas walau dihimpit pelbagai tekanan dan kerajaan terus mencari penyelesaian yang mampu melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Biar dunia lihat bahawa Malaysia di bawah Kerajaan Madani bukan negara yang tunduk menikus mengikut telunjuk mana-mana kuasa, tetapi negara yang dihormati dan disegani mampu berunding dengan yakin, menjamin kedaulatan negara, mempertahan haknya dan melindungi kepentingan rakyatnya,” katanya.- 29/10/2025



