
Isu gelandangan… DBKL teliti reka bentuk bandar anti-homeless infrastructure
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti pelaksanaan reka bentuk prasarana bandar yang digunakan di bandar utama dunia seperti London, Tokyo dan Singapura, bagi menangani isu gelandangan di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pendekatan itu melibatkan reka bentuk fizikal atau anti-homeless infrastructure seperti bangku awam yang tidak sesuai untuk berbaring, pencahayaan optimum serta susun atur landskap yang menggalakkan penggunaan sementara dan selamat.
“Ini bagi mengurangkan aktiviti tidur di jalanan tanpa menafikan akses kepada orang awam. Jadi langkah ini dilaksanakan secara berhemah agar ruang bandar kekal mesra pengguna, namun tidak menggalakkan aktiviti gelandangan yang berterusan,” katanya di Dewan Rakyat Rabu.
Dr Zaliha berkata dalam menangani isu gelandangan di ibu kota Kuala Lumpur yang mencemarkan tempat tumpuan pelancong terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Jawatankuasa KL Strike Force ditubuhkan pada Mei 2024 bagi menyelaras operasi penyelamatan dan penguatkuasaan melibatkan gelandangan serta golongan papa.
“Sehingga kini, tujuh operasi bersepadu telah dijalankan dan 568 individu berjaya diselamatkan. Pemantauan dijalankan setiap hari pada waktu pagi dan malam di kawasan panas sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau menegaskan operasi itu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong kekal bersih, selamat dan teratur menjelang TMM2026.
Menurut Dr Zaliha, tidak dapat dipastikan jumlah gelandangan di Kuala Lumpur ketika ini, tetapi sejumlah 4,886 gelandangan pernah mendapat manfaat daripada pusat transit gelandangan seliaan DBKL di Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Tuanku, yang mampu menempatkan sehingga antara 100 dengan 200 penghuni pada satu masa.
Pusat berkenaan tambah beliau, turut menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara, makanan dan latihan kemahiran selama dua bulan atau sehingga penghuni memperoleh pekerjaan tetap.
“Program padanan kerja diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Pekerja (Perkeso), termasuk sesi temu duga dengan majikan serta penyediaan resume bagi meningkatkan peluang pekerjaan buat mereka, sekali gus mengurangkan golongan gelandangan,” katanya.
Selain itu Dr Zaliha berkata Pusat Komuniti di Chow Kit turut berperanan menyediakan kegiatan pembangunan diri seperti kelas bakeri, komputer dan seni, sebagai usaha membantu golongan gelandangan berdikari.-30/10/2025



