FOKUS

Zafrul jawab dakwaan Muhyiddin pasal Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Sabtu telah menulis di laman facebooknya untuk menangkis isu isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin pertikai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat bekas Perdana Menteri itu antara lain dakwa mendakwa Perjanjian ART 2025 mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang dikhuatiri akan memudaratkan Malaysia pada masa akan datang.

Beliau turut mendakwa, perjanjian tersebut sarat dengan agenda penjajahan ekonomi yang boleh mengancam kemerdekaan serta kedaulatan negara, sekali gus mendesak kerajaan melaksanakan kajian semula terhadap ART 2025 dengan kadar segera

KENYATAAN BALAS KEPADA TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN: ART – KEDAULATAN & EKONOMI TERJAMIN

Terima kasih kepada YB Tan Sri Muhyiddin di atas persoalan yang dibangkitkan tentang Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat. Sebelum saya menghuraikan isu-isu yang dibangkitkan oleh TSMY satu persatu, saya ingin menegaskan semula beberapa fakta utama yang telah saya bentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2025, iaitu:

  1. Rundingan ART berbeza sama sekali daripada rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lain. Tarif Timbal Balas (Reciprocal Tariff) adalah cukai unilateral yang dikenakan oleh AS.
  2. AS kekal sebagai salah satu pasaran eksport terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan dua hala pada 2024 mencatatkan RM325 bilion, dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM198.65 bilion. Untuk tempoh Januari-September 2025, jumlah eksport negara pula adalah RM166.38 bilion.
  3. Malaysia wajib mempertahankan akses kepada pasaran kritikal AS ini dan berunding demi kepentingan nasional dan kelangsungan ekonomi kita.
  4. Perjanjian ini melibatkan kelangsungan punca rezeki jutaan rakyat Malaysia merentasi sektor utama (Elektrik & Elektronik, Aeroangkasa, Getah, Koko, Farmaseutikal). Keengganan bertindak pantas akan menyebabkan jutaan rakyat Malaysia terancam hilang punca pendapatan.

Walau bagaimanapun, sepanjang proses rundingan, Kerajaan telah:

● Berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, menggunakan pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government), dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara dilindungi dan dipelihara.

● Tegas tidak berganjak daripada pendirian melibatkan isu-isu garis merah (red lines), terutamanya Dasar Bumiputera, Dasar Perolehan Kerajaan, dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya dalam sektor strategik negara (seperti Tenaga dan Telekomunikasi).

● Perjanjian ART ini juga mengandungi klausa yang menjamin kedaulatan negara, di mana pelaksanaannya adalah berdasarkan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara serta berlandaskan undang-undang dan peraturan domestik.

Hasilnya, Malaysia berjaya mendapat penurunan kadar tarif dari 25% kepada 19%, menjadikannya kadar terendah yang dikenakan kepada negara-negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.

Malaysia juga berjaya memperoleh pengecualian daripada tarif 19% ini bagi 1,711 barisan tarif (tariff lines) ke atas produk eksport utama, termasuk minyak sawit, barangan getah, produk koko, komponen pesawat, dan farmaseutikal, yang menyumbang kolektif sehingga RM22 bilion (USD5.2 bilion).

Jika Malaysia menolak perjanjian ini, Kerajaan AS dijangka menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal 24% atau kadar yang jauh lebih tinggi (30%, 40%, 50%, malah 100%). Ini secara langsung akan melumpuhkan daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS.

Selain itu, ketidaktentuan pasaran akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan untuk membuat pelaburan baharu atau mengembangkan operasi sedia ada di Malaysia. Faktor kebolehramalan (predictability) dan kebolehjangkaan (certainty) adalah prinsip asas kepada komuniti perniagaan. Pelabur tidak akan memilih negara yang kelihatan teragak-agak dan tidak mengambil tindakan proaktif untuk melindungi akses pasaran eksportnya.

Jawapan kepada Isu-Isu Spesifik oleh TSMY
Artikel 3.4 (Pencegahan Pemindahan Teknologi Paksa)

TSMY: Peruntukan ini melarang Malaysia mengenakan syarat pemindahan teknologi sebagai kaedah untuk menarik pelaburan AS.

Jawapan: Artikel 3.4 bertujuan menghalang “pemindahan teknologi secara paksa”. Ini adalah peruntukan standard (lazim) yang wujud dalam majoriti perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Malaysia. Tujuannya adalah untuk memastikan syarikat tidak dipaksa menyerahkan hak harta intelek (IP) yang berharga, seperti rahsia perdagangan atau kod sumber, kepada Kerajaan sebagai syarat untuk melabur, menjual, atau beroperasi di Malaysia.

Paling penting, Artikel 3.4.2 menyediakan pengecualian yang jelas. Ia membenarkan Kerajaan Malaysia, sebagai pengawal selia, untuk mengakses kod sumber, algoritma, dan teknologi proprietari lain, bagi tujuan pengawalseliaan (regulatory) dan perundangan yang sah. Ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) penyiasatan, prosiding kehakiman, penyelenggaraan infrastruktur kritikal, memastikan pematuhan undang-undang, dan memastikan kestabilan sistem kewangan (atas sebab-sebab prudential).

Artikel 5.1 (Tindakan Sekatan Terhadap Negara Ketiga)

TSMY: Peruntukan ini menegaskan, jika AS mengenakan sekatan atau langkah lain terhadap negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau keselamatan nasionalnya, Malaysia juga hendaklah melakukan tindakan yang sama. TSMY mendakwa ini memaksa Malaysia akur secara mutlak.

Jawapan: Seperti yang saya jawab di Parlimen, peruntukan ini SAMA SEKALI tidak memaksa Malaysia akur secara membuta tuli. Frasa-frasa utama seperti “mengikut undang-undang dan peraturan domestik” dan “dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak” dengan jelas memberikan Malaysia ruang undang-undang dan autonomi diplomatik untuk mengurus tindakannya.

Peruntukan tersebut dengan jelas menekankan bahawa sebarang tindakan Malaysia hanya terpakai untuk isu yang merupakan “shared economic concern” (kebimbangan ekonomi bersama). Sekiranya isu tersebut tidak menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia, kita TIADA OBLIGASI untuk mengambil tindakan atau sekatan yang sama seperti AS. Ini adalah komitmen berasaskan kebimbangan bersama, bukan kepatuhan mutlak.

Artikel 5.2 (Kawalan Eksport Strategik)


TSMY: Peruntukan ini menyatakan, Malaysia hendaklah mematuhi seluruh kawalan eksport ke atas negara ketiga yang dikenakan oleh AS secara unilateral. TSMY mendakwa ini menyebabkan Malaysia kehilangan autonomi penuh.

Jawapan: Artikel ini TIDAK menyebabkan Malaysia kehilangan kuasa penuh atau autonomi. Ia hanya menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam mengawal selia perdagangan strategik, selagi ia mematuhi undang-undang domestik Malaysia.

Malaysia telah pun mempunyai rangka kerja undang-undang melalui Akta Perdagangan Strategik 2010. Tindakan ini diambil secara konsisten (walaupun sebelum ART) untuk melindungi pengeksport dan komuniti perniagaan domestik daripada risiko sekatan sekunder (secondary sanctions). Ini membuktikan Malaysia telah sedia mengambil langkah proaktif untuk kekal sebagai rakan dagang yang dipercayai kepada masyarakat antarabangsa, termasuk AS.

Artikel 5.3 (Akses Data Kastam)


TSMY: Peruntukan ini memberikan akses langsung kepada AS terhadap data kastam dan urusan kastam Malaysia. TSMY mendakwa ini bermakna kedaulatan data dan kawalan ekonomi nasional Malaysia kini dikuasai AS.

Jawapan: Walaupun Artikel ini membenarkan AS memiliki akses kepada data kastam, akses tersebut bukanlah automatik. Tiga perenggan di bawah Artikel ini secara tegas memerlukan perkongsian data dilakukan:
● “through its domestic regulatory process”; atau
● “in accordance with its domestic laws and regulation”.

Ini bermakna sebarang perkongsian data mestilah melalui proses peraturan Kastam dan berlandaskan sepenuhnya undang-undang domestik negara.


Artikel 6.1.3 (Komitmen Pelaburan dan Perolehan)

TSMY: Peruntukan ini menuntut komitmen memudahkan pelaburan US$70 bilion (10 tahun) dan perolehan US$150 bilion (5 tahun) oleh syarikat Malaysia ke atas AS adalah pemindahan kekayaan yang berat sebelah.

Jawapan: AS adalah sumber pelaburan terbesar bagi Malaysia. Sebagai rekod, setakat Januari-Jun 2025, pelaburan yang diluluskan dari AS mencatatkan RM10.4 bilion, manakala secara kumulatif sehingga 2024, rekod pelaburan dari AS adalah berjumlah RM218.2 bilion.

Komitmen pelaburan dan perolehan di bawah Artikel ini tidak akan menggunakan dana Kerajaan dan adalah semata-mata keputusan komersial dan perancangan perniagaan syarikat-syarikat.

Kerajaan hanya mendapatkan maklum balas daripada Syarikat Multinasional (MNC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mengenai perancangan perolehan sedia ada mereka dari AS, dan menyenaraikan komitmen tersebut. Tanpa ART sekali pun, perolehan ini akan tetap dilakukan kerana ia adalah perancangan komersial yang sedia ada.

Contoh: Pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group telah diumumkan pada Mac 2025, iaitu sebelum pengumuman tarif oleh Presiden Trump.


Artikel 6.2 (Nadir Bumi dan Sekatan Eksport)

TSMY: Peruntukan ini melarang Malaysia untuk mengenakan kuota atau sekatan eksport ke atas sumber strategik seperti nadir bumi (REE) ke AS. TSMY mendakwa ini menyebabkan Malaysia menyerahkan autonomi dasar ke atas sumber strategik miliknya.

Jawapan: Malaysia TEGAS mengekalkan dasar MELARANG eksport REE mentah. Dasar ini adalah untuk memastikan pembangunan industri hiliran tempatan. Ini bermakna nilai tambah, pekerjaan berkemahiran tinggi, dan teknologi pemprosesan mesti diwujudkan dan kekal di Malaysia. Kita tidak akan kembali menjadi negara yang sekadar menggali dan menjual bahan mentah dengan harga murah.

Pembangunan sumber strategik negara akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di bumi Malaysia, dengan kawalan penuh kedaulatan negara.

Dasar yang diamalkan bukan untuk menghalang perdagangan secara total, tetapi untuk menghalang eksport bahan mentah yang belum diproses, bagi memastikan nilai tambah berlaku di Malaysia terlebih dahulu.

Seperti mana sektor lain seperti oil and gas, getah, koko, dan minyak sawit, Malaysia tidak menghalang eksport produk hiliran dan bahan yang telah diproses tetapi kita menggalakkan pembangunan aktiviti hiliran untuk memaksimumkan nilai.

Setelah diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian Malaysia, dan setelah nilai itu dicipta di sini, barulah produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Pelaksanaan fasilitasi dan semua pelaburan di bawah Perjanjian ini akan sentiasa tertakluk dan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara.

KENYATAAN MEDIA
YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MD YASSIN MENGENAI PERJANJIAN PERDAGANGAN TIMBAL BALIK MALAYSIA–AMERIKA SYARIKAT (ART 2025)
31 OKTOBER 2025

Sesuatu perjanjian antara negara kecil dan membangun, dengan negara maju atau superpower, memang lazimnya bercorak asimetri atau tidak seimbang. Tetapi, corak perjanjian yang tidak seimbang ini tidak boleh disalahgunakan hingga mengancam kemerdekaan serta kedaulatan negara kecil dan membangun yang berkenaan.

Berlandaskan hujah ini, saya amat bimbang terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) yang dimeterai sempena Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, dan diumumkan oleh White House di Washington D.C., Amerika Syarikat (AS), pada 26 Oktober 2025.

Pentadbiran Presiden Donald Trump menyifatkan perjanjian ini sebagai satu pencapaian diplomasi “dua hala yang saling menguntungkan.” Kesimpulan ini sangat meleset, amat tidak tepat, dan terlalu mengelirukan.

Hakikatnya, perjanjian ini mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang. Ia juga sarat dengan pelbagai agenda penjajahan ekonomi yang mengancam kemerdekaan serta kedaulatan Malaysia.

Seluruh agenda tersembunyi AS ini terkandung dalam artikel atau peruntukan berikut:

Pertama, Artikel 3.4 dan lain-lain. Peruntukan ini melarang Malaysia mengenakan syarat pemindahan teknologi sebagai kaedah untuk menarik pelaburan AS. Ia juga mewajibkan Malaysia menerima standard atau piawaian AS untuk produk berkaitan farmaseutikal, makanan dan media. Peruntukan ini menghakis kedaulatan teknikal dan regulasi Malaysia.

Kedua, Artikel 5.1. Peruntukan ini menegaskan, jika AS mengenakan tarif, larangan import, sekatan atau langkah lain terhadap negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau keselamatan nasionalnya, Malaysia juga hendaklah melakukan tindakan yang sama.

Peruntukan ini jelas memaksa Malaysia supaya akur dengan tindakan sekatan yang dilakukan oleh AS, walaupun kepentingan Malaysia adalah berbeza.

Ketiga, Artikel 5.2. Peruntukan ini menyatakan, Malaysia hendaklah mematuhi seluruh kawalan eksport ke atas negara ketiga yang dikenakan oleh AS secara unilateral. Malaysia juga hendaklah bekerjasama dalam hal transaksi perdagangan dengan lain-lain entiti yang disenaraikan oleh AS. Peruntukan ini menunjukkan, Perjanjian ART 2025 menyebabkan Malaysia kehilangan kuasa penuh atau autonominya dalam mengawal dasar negaranya sendiri.

Keempat, Artikel 5.3 (Annex III). Peruntukan ini memberikan akses langsung kepada AS terhadap data kastam dan urusan kastam Malaysia. Sekali lagi, ini bermakna, kedaulatan data dan kawalan ekonomi nasional Malaysia kini turut dikuasai oleh AS.


Kelima, Artikel 6.1.3 (Annex IV). Peruntukan ini menuntut komitmen Malaysia untuk memudahkan pelaburan sebanyak US$70 bilion di AS dalam tempoh 10 tahun.

Ia juga menuntut pembelian oleh syarikat Malaysia bernilai US$150 bilion dalam 5 tahun ke hadapan. Pembelian ini melibatkan semikonduktor, peralatan pusat data dan aeroangkasa.
Komitmen di atas, yang melibatkan pengaliran keluar modal Malaysia ke AS, adalah satu bentuk pemindahan kekayaan yang berat sebelah.

Keenam, Artikel 6.2 (Annex III). Peruntukan ini melarang Malaysia untuk mengenakan kuota atau sekatan eksport ke atas sumber strategik seperti nadir bumi (REE) ke AS. Ia juga menjadikan kewajipan Malaysia untuk mendorong pembekalan nadir bumi berdasarkan terma yang menguntungkan AS.

Peruntukan ini menunjukkan, ART 2025 menyebabkan Malaysia menyerahkan sebahagian kuasanya untuk mengawal sumber strategik miliknya, selaras dengan syarat yang memihak kepada AS. Ini adalah satu bentuk penghapusan terhadap autonomi dasar Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Oleh itu, adalah jelas bahawa Perjanjian ART 2025 ini menjejaskan keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan nasional serta kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.

Lebih serius lagi, perjanjian ini dijangka akan mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara proksi atau negara satelit kepada AS di Asia Tenggara.

Ini menunjukkan, Perjanjian ART 2025 adalah satu perjanjian yang menggadaikan kedaulatan Malaysia kepada AS; perjanjian yang mengkhianati dasar luar Malaysia yang berkecuali; dan perjanjian yang menodai corak interdependensi atau kebergantungan perdagangan dua hala Malaysia–AS yang sepatutnya bebas daripada sebarang kongkongan kuasa asing.

Saya amat kesal dengan seluruh kesan mudarat yang wujud daripada Perjanjian ART 2025 seperti di atas. Hakikat ini sedang dianalisis secara meluas dan menyeluruh oleh pakar-pakar tempatan, serantau dan antarabangsa. Ini menggambarkan bahawa kesan kepada Perjanjian ART 2025 ini adalah amat berbahaya kepada kelangsungan Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat.

Oleh itu, saya mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji semula perjanjian tersebut secara menyeluruh. Kajian semula ini perlu dilaksanakan di pelbagai peringkat dan melibatkan seluruh pemegang taruh kemerdekaan serta kedaulatan negara.

Seluruh kandungan Perjanjian ART 2025, baik yang melibatkan logam kritikal dan strategik milik Malaysia seperti nadir bumi, yang membabitkan pengimportan LNG dari AS bernilai sekitar US$3.4 bilion setahun, serta lain-lainnya, mesti diperjelaskan kepada seluruh pemegang taruh di Malaysia, termasuk Ahli Parlimen.

Sesi libat urus dengan seluruh pemegang taruh mengenai Perjanjian ART 2025 ini mesti diadakan dengan tersusun dan segera. Tujuannya, supaya perjanjian ini bersifat adil; tidak menindas; dan tidak menjadi batu loncatan kepada niat AS untuk melaksanakan penjajahan cara baharu menerusi perdagangan dua halanya dengan Malaysia; dan supaya Malaysia tidak akan sekali-kali menjadi negara proksi, negara satelit, apatah lagi negara boneka kepada AS di hari-hari mendatang.

Rakyat Malaysia wajar sama-sama mendesak pelaksanaan kajian semula terhadap Perjanjian ART 2025 di atas. Kita perlu ingat dan insaf bahawa Malaysia adalah negara yang amat strategik di Asia Tenggara. Ini kerana lokasi geografinya yang strategik kepada geopolitik kuasa-kuasa besar; ini kerana Selat Melaka yang strategik kepada perdagangan antarabangsa; ini disebabkan rizab REE Malaysia yang berkualiti tinggi dan penting kepada pembuatan persenjataan canggih serta produk berteknologi tinggi; dan kerana rizab minyak dan gas Malaysia yang besar jumlahnya, yang terdapat di Laut China Selatan serta Laut Sulawesi.

Saya mendesak Kerajaan Malaysia melaksanakan kajian semula ke atas Perjanjian ART 2025 ini dengan secepat mungkin, sebelum tamat tempoh moratoriumnya selama enam bulan, mulai minggu lalu.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MD. YASSIN
AHLI PARLIMEN PAGOH
PENGERUSI
PERIKATAN NASIONAL

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button