
‘Saya cuma bertemu di majlis kahwin…tak bincang apa-apa’ – kata Zahid pasal isu minta Khairy masuk balik UMNO
Kalau ikut gembar gembur dan segala macam gosip politik hangat kebelakangan ini bunyinya macam Khairy Jamaluddin sudah diambang nak masuk kembali dalam UMNO bila bila masa sekarang.
Ini gara gara kebetulan terserempak dengan Presiden UMNO Datuk Sri Zahid Hamidi di majlis kenduri kahwin anak anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman di dewan WTC,Kuala Lumpur baru-baru ini.
Betulkah senarionya bagai cerita yang berlegar?
Sebenarnya kisah itu meletup bukan terbit dari Khairy maupun Zahid.
Ia cuma berdasarkan pertemuan secara kebetulan di majlis berkenaan.
Hari ini ,Selasa ada khabar yang boleh dikira ‘potong stim’ tentang isu itu.
Zahid yang ditemui wartawan selepas satu majlis di PICC,Putrajaya menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Khairy hanyalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan politik.
“Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kami tidak berbincang apa-apa pun. Apa yang terpapar di media hanyalah berita yang ditulis oleh media.
“Saya amat menghormatinya dan tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang,” ujarnya.
Antara gembar gembur yang berlegar mendakwa pimpinan tertinggi UMNO khususnya Presiden, Zahid sudah beri restu Khairy untuk kembali ke pangkuan parti itu.
Pada pertemuan di majlis kenduri itu Zahid sendiri dikatakan memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli UMNO.
Khairy dikatakan dijangka membantu kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti.
Malah Khairy juga dikatakan sudah dipertimbangkan untuk dinamakan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mewakili kawasan Parlimen Kepala Batas.
Parlimen Kepala Batas adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Khairy yang jua bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh lawan calon PH Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan yang kini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Khairy selama ini mengambarkan hatinya masih tetap dengan UMNO bila ada yang bertanya kenapa beliau tidak sertai parti lain.
Namun baru baru ini ketika ada pihak mempersoalkan kesetiaannya semasa kehangatan desas desus nak masuk balik UMNO beliau menegaskan bukan dirinya yang keluar dari UMNO sebaliknya dipecat dari parti itu. – 4/11/2025
				
					


