
Saya tidak pernah lari…kata Namewee ketika serah diri pada polis
Penyanyi rap asal Muar yang kontroversial Wee Meng Chee,42 atau lebih popular dikenali sebagai Namewee rupanya tidak kemana.
Semasa heboh cerita polis memburunya untuk bantu siasatan kes kematian pempengaruh dari Taiwan Hsien Yun Hsin, 31, di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu Namewee dikatakan ‘menghilang diri’
Malam tadi beliau sendiri tampil serah diri di ibu Pejabat Polis Dang Wangi,Kuala Lumpur kira-kira jam 1.10 pagi (Rabu) .
Selepas mengambil video swafoto di luar, dia memasuki kawasan balai untuk bertemu dengan pegawai penyiasat.
Namewee beritahu dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
“Saya kini berada di balai polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan serta memberikan penjelasan kepada orang ramai dan keluarga wanita itu.
“Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Yun Hsin tiba di Malaysia pada 20 Oktober lalu untuk perjalanan yang dirancang selama empat hari.
Pempengaruh itu bagaimanapun ditemui mati dua hari kemudian pada 22 Oktober jam 1.40 tengah hari di dalam sebuah bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay.Z
Namewee ialah orang terakhir bersama Yun Hsin.
Pada 24 Okt lalu Namewee sudah dihadapkan di mahkamah atas dua pertuduhan berkaitan dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, menyatakan bahawa siasatan terhadap kematian Hsieh telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR)
Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun.
Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Yun Hsin dikatakan berada di Kuala Lumpur untuk satu projek video bersama Namewee.
Namewee pernah melanjutkan pelajaran di Taiwan.
Dia pernah cetus kontroversi seawal Ogos 2007, apabila menghasilkan video rap dengan gubahan dari lirik lagu “Negaraku”, mengandungi unsur sindiran dan kritikan terhadap negara, pasukan polis, orang Melayu dan azan dalam agama Islam.
Namewee kemudian dilaporkan meminta maaf kepada mereka yang rasa terhina oleh video tersebut. -5/11/2025



