TAHUKAH ANDA

KBS hati-hati dalam tindakan… elak FAM digantung FIFA

Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak… itulah ibarat yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) menangani isu tujuh pemain warisan Harimau Melaya.

Dalam masa terdekat, PJS akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Siasatan Bebas dalam menyiasat isu dokumentasi tersebut.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, hasil siasatan akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, Hannah menegaskan kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Antaranya termasuk Indonesia yang digantung selama setahun selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia membekukan persekutuan bola sepak negara itu.

“Contoh ini menunjukkan FIFA tegas dalam menegakkan Statut 15(C) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan,” katanya di Facebook, hari ini.

Hannah menegaskan, KBS akan terus mengimbangi antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara bagi memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat.

Jawatankuasa Rayuan FIFA semalam mengesahkan menolak rayuan FAM berhubung hukuman yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan bola sepak dunia itu pada September lalu.

Keputusan itu menyaksikan hukuman denda 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta) ke atas FAM kekal.

Tujuh pemain terbabit Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel turut digantung 12 bulan serta masing-masing didenda 2,000 Swiss franc (RM10,411).

FAM kini mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis dan selepas penerimaan keputusan itu, mereka mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).-5/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button