TAHUKAH ANDA

98 peratus penerima SARA beli barang asas, belanja RM3.66 bilion

Sebanyak 98 peratus penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM3.66 bilion berdasarkan data yang terkumpul sehingga semalam.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semua penerima SARA di Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui inisiatif terbabit.

“Setakat 3 November, 98 peratus penerima SARA bulanan telahpun menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas membabitkan perbelanjaan RM3.66 bilion.

“Sebanyak 100 peratus yakni semua penerima SARA bulanan di Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui SARA.

“Berhubung Penghargaan SARA RM100 pula, lebih 18.3 juta rakyat atau 83 peratus sudah berbelanja membabitkan RM1.63 bilion,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan turut komited memastikan manfaat SARA bukan hanya kepada penerima bantuan, tetapi turut menyokong peniaga kecil kedai runcit persendirian dan kedai koperasi.

“Setakat 3 November 2025 (semalam), kita berjaya membabitkan lebih 8,700 rakan niaga SARA termasuk sekitar 2,500 kedai runcit kecil di seluruh negara.

“Ini peningkatan besar berbanding 700 rakan niaga SARA termasuk 180 kedai runcit kecil pada tahun lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, rangkaian itu meliputi pasar raya, pasar mini, kedai koperasi dan kedai runcit kecil yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman untuk memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan berkenaan.-5/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button