YANG VIRAL

Purata penggunaan petrol Budi95 hanya sebanyak 98 liter sebulan

Hanya satu pertiga daripada had yang disediakan kerajaan iaitu Hanya 98 liter sahaja purata penggunaan petrol RON95 melalui Program Budi Madani RON95 (Budi95) bagi setiap pengguna sepanjang Oktober lalu, demikian jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia hanya mewakili 33% sahaja berbanding 300 liter had bulanan yang ditetapkan melalui Budi95.

“Adakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja iaitu 33 peratus daripada kelayakan.

“Mereka yang membelanjakan lebih 300 liter hanya 0.7 peratus sahaja,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Anwar menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai kemajuan bulan pertama pelaksanaan program penyasaran subsidi RON95, dan tindakan diambil kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit terutama golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-panggilan dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah Budi95.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan siling penggunaan Budi95 daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing.

Keputusan itu katanya, dibuat selepas mengambil kira maklum balas pemandu e-hailing yang merasakan jumlah semasa 600 liter masih belum mencukupi untuk menampung kos operasi harian.

“Untuk Oktober, (subsidi pemandu) e-hailing aktif kita naikkan daripada 300 liter kepada 600 liter untuk 58,000 pemandu aktif yang layak.

“(Bagaimanapun), ada lagi rakan-rakan di e-hailing merasakan (jumlah berkenaan) belum mencukupi.

“Jadi sekarang, kita mengkaji kalau betul ada rekod dan keperluan, maka kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan budi 95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan ,” katanya. -5/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button