
Isu gantung perjanjian damai Thailand-Kemboja…ini penjelasan PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini patahkan usaha untuk perlekeh peranan Malaysia usahakan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja ekoran pengantungan serta merta perjanjian itu susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan empat anggota tentera Thailand di wilayah sempadan Si Sa Ket.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat Perdana Menteri kata Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras terhadap rundingan melibatkan kedua-dua negara itu.
“Bila kita panggil kedua-dua Perdana Menteri (Thailand dan kemboja), saya kata Malaysia hanya bantu menyelaraskan dan memohon pendamaian.
“Mereka yang tentukan parameter, buka kita letakkan syarat. Bukan saya tetapkan syarat pendamaian, kita hanya bantu menyelaras dan mereka berdua bersetuju.
“Sekiranya ada pelanggaran, maka timbul masalah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai dakwaan tindakan penggantungan itu ada kaitan dengan tuduhan bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap yang mendakwa Malaysia sebagai ‘tangan ghaib’ menentukan hala tuju rundingan damai berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakuln mengumumkan penggantungan serta-merta pelaksanaan perjanjian damai Thailand-Kemboja dan pembebasan 18 tahanan tentera Kemboja, susulan insiden letupan periuk api di wilayah sempadan Si Sa Ket.
Letupan dipercayai berpunca daripada periuk api yang baru dipasang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di kawasan sempadan.
Anutin menyifatkan insiden tersebut sebagai tindakan bermusuhan dan menegaskan bahawa semua aktiviti di bawah perjanjian damai yang dimeterai di Kuala Lumpur pada Oktober lalu akan dibekukan sehingga situasi menjadi lebih jelas.
Perjanjian berkenaan ditandatangani di Kuala Lumpur disaksikan Presiden Donald Trump masa Sidang kemuncak Asean baru ini.
Malaysia sebagai Pengerusi Asean turut main peranan usahakanya ekoran konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja gara gara pertikaian mengenai isu sempadan bersama.
Anwar menjelaskan Anutin Charnvirakul juga tidak pernah mempertikaikan tanggungjawab serta peranan Malaysia dalam proses pengantaraan itu.
“Cuma dia (Anutin) kata, kena gesa supaya Kemboja juga mematuhi (perjanjian) sepenuhnya dan 18 tahanan di bawah Thailand akan dilepaskan semua,” katanya.- 11/11/2025



