
Anwar berang isu kartel dadah terkait ahli politik
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berang dengan isu kartel dadah yang masih tidak berkesudahan sejak 20 tahun lalu sehingga kini.
Begitupun, katanya, beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai kartel besar yang membawa dadah menerusi kontena selepas menjadi Perdana Menteri dan menunggu selama setahun.
Anwar berkata, beliau sendiri telah mengambil tindakan untuk membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu.
“Saya kata macam mana? Orang ramai sudah bercakap mengenainya. Kemudian kontena itu masuk. Kontena dadah keluar daripada Pelabuhan Klang, ditangkap di Australia.
“Itu saya mengamuk. Saya kata jangan cakap kepada saya, anda tak ada apa-apa tindakan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara itu dan kemudian mengambil beberapa langkah susulan.
Beliau turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu dan bertemu dengan mereka selama satu jam.
“Apa jadi itu? Satu contoh ialah Pelabuhan Klang. Rupanya ratusan kontena yang masuk seperti sisa e-waste. Jadi kita kata, serbu. Bagaimana, bila dan siapa? Itu kerja dia. Saya tak tahu,” katanya.
Anwar berkata daripada perkara itu juga, wujudnya sindiket dan ahli politik yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Ada juga kelakuan dan tindakan jenayah. Ada orang mati dibunuh oleh mereka,” katanya.
Anwar dalam masa sama memuji agensi penguatkuasa di negara ini yang sudah mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan itu.
“Sekarang, kita sudah ambil tindakan. Kita sudah rampas dan dakwa beberapa orang di mahkamah,” katanya.-16/11/2025



