
Perhimpunan Agung MIC serah kepada pucuk pimpinan putuskan samaada nak keluar BN atau tidak
Sepatutnya hari ini,Ahad ialah ‘D-Day’ bagi parti MIC untuk buat keputusan muktamad samaada keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN).
Maka semua orang sudah pasang teropong ke Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 MIC yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
Untuk rekod MIC bersama MCA duduk bawah payung BN atau sebelumya Perikatan sejak negara ini mencapai kemerdekaan.
Namun tidak semua berlaku seperti yang asalnya dirancang.
Setelah perhimpunan agung parti itu membahaskan tiga usul termasuk samaada keluar BN atau tidak dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang…ia memutuskan untuk tangguhkan keputusan yang besar itu.
Semua usul berkenaan dibentangkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Sekiranya usul keluar daripada BN terjadi MIC terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti selain Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan Pakatan Harapan (PH).
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Bercakap pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MIC itu beliau berkata pucuk pimpinan parti akan segera buat keputusan.
“Ini keputusan perwakilan, takkan kita yang belum duduki mesyuarat terus nak keluarkan kenyataan? Semuanya tertakluk kepada keputusan CWC.
“Tetapi, keputusan ini akan dimuktamadkan kalau boleh secepat mungkin,” katanya.
Ketika hangat berlegar mengenai isu MIC hendak keluar BN kebelakangan ini ,Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi kata gabungan itu tidak akan sekat MIC dari mengambil langkah itu.
MIC kebelakangan ini dikatakan tidak puas hati dengan beberapa hal politik dalam gabungan BN.
Pada sidang akhbar itu Vigneswaran juga mengakui berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berhubung hasrat untuk keluar daripada BN.
Beliau berkata, Anwar ada memberikan saranan untuk MIC mempertimbangkan semula perkara tersebut memandangkan kedua-duanya sudah lama menjadi rakan gabungan.
“Anwar seorang yang terbuka dan berterus-terang, beliau tanya, saya ceritakanlah apa yang sebenarnya berlaku.
“Bukannya kami nak berunding untuk dapatkan kerusi, kami nyatakan hasrat untuk keluar BN. Jadi beliau meminta MIC untuk fikir betul-betul,” katanya.- 16/11/2025



