FOKUS

PM lawat tiga negara Afrika…guna pesawat sewa khas Malaysia Airlines

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempunyai jadual yang padat dalam lawatan ke tiga negara di benua Afrika – Ethiopia,Afrika Selatan dan Kenya bermula esok,Selasa hingga 24 November ini.

Beliau yang disertai oleh delegasi rasmi dan rombongan perniagaan akan menggunakan pesawat sewaan khas Malaysia Airlines bagi menjimatkan masa dan kos.

Di Afrika Selatan, Perdana Menteri bakal menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20 2025 dan kehadiran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan membawa suara 650 juta rakyat di rantau Asia Tenggara.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah beritahu demikian pada sesi taklimat bersama media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya Isnin.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan pesawat sewaan khas turut membolehkan kapasiti yang lebih besar bagi membawa delegasi tambahan dalam lawatan ketiga-tiga negara tersebut.

“Kalau kita menggunakan penerbangan eksekutif kerajaan, perjalanan mengambil masa 13 jam dan kapasiti pesawat itu juga terhad.

“Dengan pesawat sewaan khas, masa perjalanan dapat dikurangkan dan kosnya juga terkawal. Kos menyewa pesawat khas ini juga lebih ekonomik berbanding operasi penuh pesawat kerajaan.

“Faktor seterusnya ialah penyelarasan yang mana delegasi kerajaan dan perniagaan akan berlepas dan tiba bersama-sama, sekali gus menjamin kehadiran tepat waktu untuk semua mesyuarat serta sesi libat urus,” katanya.

Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, kerajaan menanggung sepenuhnya kos delegasi rasmi kerajaan, manakala delegasi perniagaan pula menanggung sendiri kos mereka.

Ditanya mengapa delegasi perniagaan turut serta dalam lawatan itu, beliau berkata, kerajaan mengamalkan diplomasi ekonomi langsung, iaitu rundingan kerajaan dengan kerajaan disertai terus oleh pemain industri.

Antara syarikat menyertai lawatan itu ialah Khazanah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DRB Hicom Berhad.

“Kehadiran delegasi perniagaan membolehkan padanan segera antara keperluan pasaran tempatan di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya, dengan kepakaran syarikat Malaysia, sama ada untuk menembusi pasaran baharu mahupun memperluaskan operasi sedia wujud.

“Pemilihan syarikat dibuat oleh MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) sebagai kementerian bertanggungjawab dalam hal ehwal pelaburan, perdagangan dan industri, selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri,” katanya.

Tunku Nashrul menjelaskan, ia adalah amalan sedia ada menerusi pembabitan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ia menjadi pemudah cara bagi pemain industri serta syarikat Malaysia dan luar negara untuk membuat pelaburan atau usaha sama perniagaan melalui forum perniagaan bersama pemimpin industri negara yang dilawati.- 17/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button