
PM tiba di Nairobi, teruskan misi Diplomasi MADANI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Nairobi, Kenya, pada jam 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia), sebagai destinasi terakhir dalam misi rangka Diplomasi Madani ke tiga negara Benua Afrika.
Lawatan selama dua hari ini adalah lawatan rasmi pertama Anwar ke republik itu sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Ketibaan Anwar disambut Ketua Protokol Kenya, Severine Luyali, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.
Beliau kemudiannya dijadual menghadiri jamuan rasmi yang dihoskan Presiden Kenya, Dr William Samoei Ruto.
Pada Isnin, Anwar akan menerima sambutan rasmi negara dan mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Ruto.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman serta dokumen kerjasama, termasuk dalam bidang pelancongan, selain kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Nairobi.
Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucaptama dan merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika serta Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya di Nairobi.
Pada 2024, Kenya menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Terdahulu, menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan, lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan kerjasama merentasi pelbagai bidang strategik antara Malaysia dan Afrika Selatan.
Lawatan itu juga berjaya membuka ruang baharu yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Selain itu, Malaysia di pentas Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) menzahirkan pendirian tegas dan berprinsip terhadap isu-isu mendesak yang menuntut keadilan, keamanan, serta tindakan kolektif masyarakat antarabangsa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam kelancaran lawatan di Johannesburg.
“Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kementerian terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang telah memastikan kelancaran keseluruhan program,” katanya.-24/11/2025



