
Banjir makin buruk… Kerajaan gerakkan lebih 100,000 anggota dan aset
Hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa negeri menyebabkan kerajaan menggerakkan lebih 100,000 anggota serta aset pelbagai agensi ke negeri-negeri yang terjejas banjir semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sehingga pagi tadi, seramai 11,009 mangsa daripada 3,839 keluarga ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Beliau berkata, mobilisasi besar-besaran itu merangkumi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Situasa bencana MTL akan dipantau secara rapi setiap hari bagi memastikan keselamatan rakyat.
“Saya turut menekankan kepada semua anggota pasukan agar memastikan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan terjejas dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan yang baik,” menurutnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurutnya, pemantauan harian dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap tertinggi.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, data NADMA menunjukkan seramai 11,518 mangsa daripada 4,056 keluarga ditempatkan di 63 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan 13 daerah di tujuh negeri.
Kelantan merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 8,259 mangsa yang ditempatkan di 33 PPS, diikuti Perlis (1,121 mangsa), Perak (1,087), Kedah (371), Pulau Pinang (322), Terengganu (285) dan Selangor (73).
Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas di musim banjir yang melanda ketika ini.
Dalam kenyataan hari ini, ST memaklumkan bahawa banjir boleh menimbulkan pelbagai risiko, termasuk tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus, dan kerosakan kelengkapan elektrik serta gas. Suruhanjaya itu turut berkongsi beberapa langkah pengawasan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas banjir.
“Sekiranya diarahkan berpindah, simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir. Matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik serta pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan daripada suis utama, seperti solar PV, pagar elektrik, atau pengecas kenderaan elektrik, dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” menurut ST.

ST turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian atau pepasangan elektrik, seperti pencawang dan bilik suis yang ditenggelami air, serta tidak memegang tiang atau sebarang struktur yang menyalurkan elektrik.
Suruhanjaya itu juga menegaskan supaya tidak mengalihkan tiang elektrik tumbang atau talian putus, sebaliknya segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak utiliti elektrik.
Bagi memastikan keselamatan penggunaan elektrik dan gas selepas banjir, ST memaklumkan bahawa suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas hendaklah dimatikan sebelum kerja pembersihan dimulakan.
“Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan kelengkapan elektrik berada dalam keadaan baik dan kering. Sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan talian, struktur pepasangan elektrik, dan saluran gas berpaip.
“Elakkan menggunakan kelengkapan elektrik dan peralatan gas yang diragui keselamatannya. Jika masih ragu, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan ST,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyimpan nombor telefon kecemasan, termasuk balai polis, bomba, hospital, dan syarikat utiliti berdekatan, serta memastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ST melalui talin 03-8870 8800, e-mel eaduan@st.gov.my, atau melayari laman sesawang www.st.gov.my.



