FOKUS

Shamsul buat laporan polis terhadap Albert Tei dakwa PM bagi arahan buat rakaman sulit ahli politik Sabah

Sekalipun baru saja letak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri pada Selasa namun Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin tetap turun ke Sabah untuk sertai kempen pilihanraya negeri itu.

Pada jam 5.05 petang Rabu di celah waktu berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gum Gum beliau telah ke Balai Polis Sandakan untuk membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei.

Tei dikenali sebagai penyebar video rakaman sulit perbualan dia dengan sebilangan ahli politik dan wakil rakyat Sabah dalam skandal lesen cari gali mineral di negeri itu.

Skandal berkenaan antara lain didakwa melibatkan pemberian wang kepada kalangan wakil rakyat dan ahli politik yang turut serta dalam usaha membantu Tei dapatkan lesen yang dikehendaki.

Namun lesen berkenaan gagal diperolehi dan Tei dikatakan berusaha untuk dapatkan balik wang yang diberinya itu termasuk menerusi pendedahan rakaman video perbualan secara sulit dengan mereka yang disogoknya.

Tei juga telah adakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu yang dihadapinya.

Dalam perkembangan terbaru isu ini ahli perniagaan itu dilaporkan media membuat dakwaan ada beri sejumlah wang kepada Shamsul Iskandar.

Ahli perniagaan itu dilaporkan dakwa wang itu diberi setelah dia diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada sebilangan ahli politik di Sabah sebelum tu bagi membantu dapatkan lesen berkenaan.

Dia juga dilaporkan dakwa ada bukti wang tunai bertukar tangan serta dokumen,tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit.

Laporan polis Shamsul Iskandar pada petang Rabu di Sandakan ialah berkaitan dakwaan Tei yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beri arahan buat rakaman secara rahsia itu.

Dakwaan terbaru itu terkandong dalam rakaman video perbualan Tei dengan seorang wanita yang didakwa proksi Shamsul Iskandar yang disebar di portal berita dan media sosial.

Dalam video berkenaan yang disebar petang semalam kedengaran suara Tei dan seorang wanita menyentuh dakwaan itu dalam perbualan mereka itu.

Mereka berdua saling mendakwa Perdana Menteri beri kebenaran untuk buat rakaman secara rahsia itu.

Dalam kenyataan berkait hal berkenaan di media sosial selepas itu ,Shamsul Iskandar menegaskan perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH SHAMSUL ISKANDAR

Di sela-sela kempen PRU DU Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.

Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej YAB PM dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihanraya Sabah.

Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.

Saya yakin pihak PDRM akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM.

Shamsul Iskandar Mohd Akin – 26/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button