
Tiga rakyat Malaysia diselamatkan, dua hilang dalam banjir di Sumatera
Tiga rakyat Malaysia berusia antara 63 hingga 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi sejak 27 November telah berjaya dikesan dan dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga mereka telah diterbangkan oleh Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele, Takengon ke Medan dan tiba di Lapangan Terbang Kualanamu pada petang semalam.
Menurut Wisma Putra, Konsulat Jeneral sedang mengatur kepulangan mereka ke Malaysia secepat mungkin.
“Walau bagaimanapun, seorang lagi wanita warganegara Malaysia berusia 64 tahun masih belum dapat dikesan.
“Usaha pengesanan masih diteruskan dengan kerjasama rapat antara Konsulat Jeneral, pihak berkuasa tempatan dan rangkaian komuniti setempat,” jelas Wisma Putra.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau perkembangan susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu.
Jelas kenyataan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta pemulihan masih diteruskan, dengan akses ke beberapa kawasan yang terjejas kini semakin pulih.
Katanya, pihak berkuasa Indonesia telah mula membuka semula beberapa laluan darat di pedalaman, sekali gus membolehkan penghantaran bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain dilaksanakan secara lebih teratur.
“Usaha membaik pulih jalan utama juga sedang giat dijalankan dengan sasaran untuk memulihkan laluan penting menjelang pertengahan Disember bagi mempercepatkan kerja-kerja pemulihan.
“Operasi SAR bagi mengesan rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang kini memasuki hari ketujuh.
“Usaha mencari masih diteruskan di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar.
“Konsulat Jeneral terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang kini berada di lokasi bagi membantu dalam proses pengecaman dan pengesahan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah, rakyat Malaysia yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu pengesanan beliau diminta segera menghubungi Konsulat Jeneral.-5/12/2025


