KEMBARA

RTS Link kurangkan kesesakan Tambak Johor, siap tahun depan – PM Anwar

Lebih 100,000 ribu pekerja yang berulang alik secara harian antara Malaysia dan Singapura boleh menarik nafas lega selepas Projek Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link) siap menjelang Disember tahun depan.

RTS Link bakal mengurangkan kesesakan di Tambak Johor secara signifikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian masalah kesesakan di pintu sempadan Johor–Singapura kembali menjadi fokus utama dalam Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 yang berlangsung hari ini di negara itu.

“Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara juga dalam perbincangan akhir bagi menambahbaik Skim Teksi Rentas Sempadan dan perkhidmatan e-hailing bagi memenuhi keperluan rakyat kedua-dua negara dengan lebih baik.

“Saya rakamkan perhargaan kepada Singapura atas sumbangan terhadap Program Sukarelawan Bahasa Inggeris MY-SG (MSEVP) yang memberi tumpuan kepada golongan belia dan menggalakkan pertukaran antara rakyat serta kumpulan profesional.

“Semoga hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh demi kebaikan rakyat kedua-dua negara,” katanya di laman sosial Facebook.

Sebelumnya Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian tambahan RTS Link Johor Bahru-Singapura, sekali gus memuktamadkan perbincangan untuk kemudahan imigresen bersama di bawah projek itu.

Perjanjian tambahan itu ditandatangani Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Kanan bagi Kewangan Singapura, Jeffrey Siow.

Malaysia dan Singapura pada Khamis menandatangani Perjanjian Tambahan bagi Laluan Transit Laju (RTS) Johor Bahru–Singapura.

Ia bertujuan memuktamadkan kemudahan imigresen bersepadu bagi projek kereta api rentas sempadan dari Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands North, Singapura.

“Rekomendasi pengangkutan kerana kesesakan dan kekurangan pengangkutan antara dua negara supaya diperbaiki skim taksi rentas sempadan itu yang diperincikan oleh kedua-dua mereka, Menteri Pengangkutan supaya dapat dimudahkan laluan antara Singapura ke Johor dan Johor ke Singapura,” katanya.

Perjanjian tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia–Singapura ke-12 di Ritz Carlton Millenia, Singapura, bagi mengurangkan kesesakan kronik di Tambak Johor, dengan tren dijangka beroperasi setiap beberapa minit semasa waktu puncak, membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.

Selain itu, pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin turut membincangkan penambahbaikan skim teksi rentas sempadan bagi memberi lebih kemudahan kepada pelancong.-5/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button