YANG VIRAL

Tiga tahun kerajaan Madani… dasar terbuka dan reformasi berani

Tiga tahun perjalanan Malaysia MADANI menyaksikan bagaimana kestabilan politik dan kesepakatan telah membuka laluan kepada dasar serta reformasi yang berani dan pelaksanaan yang jauh lebih teratur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, segala pencapaian ini berdiri atas dukungan rakyat pelbagai kaum serta iltizam penjawat awam dan pimpinan yang bekerja tanpa henti demi mengangkat martabat negara.

“Pagi tadi saya merasmikan penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, bersama ratusan ribu rakyat yang hadir untuk menyemarakkan lagi usaha MADANI di seluruh negara.

“Alhamdulillah, ekonomi negara kembali kukuh dengan pertumbuhan antara tertinggi di rantau, ringgit yang mengukuh dan perdagangan melebihi RM2 trilion. Malaysia juga hampir menoktahkan kemiskinan tegar, berbaki 0.09 peratus dan insya-Allah dapat diselesaikan awal tahun depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, kerajaan terus memperkukuh perlindungan sosial dan kebajikan rakyat menerusi kenaikan gaji penjawat awam terbesar dalam sejarah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) and Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion, serta pelbagai langkah lain untuk meringankan beban rakyat.

Jelas beliau, semua ini dilaksanakan kerana Kerajaan MADANI mendengar keresahan yang disuarakan.

“Di Sabah dan Sarawak, isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya kini dipantau secara bulanan melalui penyelarasan Persekutuan–Negeri.

“Projek Pan Borneo juga berjalan mengikut jadual, mencerminkan komitmen kita memastikan setiap janji diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.

Dalam hantara itu beliau juga berkata, reformasi institusi turut diperhebat melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pembaharuan Parlimen, RUU Ombudsman dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, agar kemajuan negara disokong tatakelola dan integriti yang kukuh.

Menurutnya pada masa sama, Malaysia bersuara tegas di pentas antarabangsa menuntut keadilan buat Palestin, di samping membuka pasaran baharu di Asia, Afrika dan Amerika Latin bagi mengukuhkan kedudukan kita sebagai negara dagang yang berdaya saing.

“Namun dalam ruang demokrasi yang terbuka, ada kelompok yang miskin hujah, memilih untuk menghina, menyebar sumpah seranah dan maki hamun, melemahkan usaha membangunkan negara dan meracuni akhlak awam.

“Tetapi saya tetap yakin dan percaya, selagi kita berjalan dengan tekad yang sama, Malaysia akan terus melangkah gagah dan berani menjadi sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani di seluruh dunia,” katanya.-8/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button