
Siapa sambong khidmat Datuk Bung ?….SPR mesyuarat PRK Kinabatangan, Lamag 16 Disember ini
Nama Datuk Seri Bung Moktar Radin agak sinonim dengan Kinabatangan yakni kawasan parlimen yang diwakilinya.
Apa tidaknya Allahyarham yang meninggal dunia pada 5 Disember sudah bertapak selama enam penggal berurut-turut 2004, 2008, 2013, 2018 dan 2022 sejak menang pilihanraya umum ke-10 pada November 1999.
Ia lebih diperkuatkan dengan kedudukanya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lamag,salah satu dari tiga DUN di daerah Kinabatangan yang berjaya dipertahankan pada pilihanraya negeri 29 November lalu.
Entah kenapa…ramai juga yang mengaku masih terasa sayu mengenang pemergian Pengerusi BN Sabah ini.
Sebenarnya dalam arina politik tanahair nama Datuk Bung tidaklah sebesar sesetengah tokoh politik yang berlalu pergi tanpa banyak sorotan.
Jawatan paling tinggi pernah disandangnya ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah dari 2020 hingga 2023.
Mungkin ada sesuatu yang ‘istimewa’ tentang dirinya selain terkenal sebagai ‘kaki bising’ dalam sidang Dewan Rakyat telah mencetuskan perasaan itu.
Kita dapat merasai getaran itu jika rajin selak pelbagai posting dan komentar yang cukup positif mengenai dirinya di media sosial.
Perkembangan ini membuatkan ramai pemerhati politik yang awal-awal duga pilihanraya kecil (PRK) yang bakal berlangsung untuk kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pasti mencuri perhatian ramai.
Yang menjadi tandatanya terbesar tentunya siapa yang bakal sambung legasi Datuk Bung di Kinabatangan.
Setakat ini sudah terdengar suara-suara yang mencadangkan anak lelaki Allahyarham diketengahkan sebagai calon.
Bagi mereka ia satu langkah yang wajar untuk mengenang jasa bakti Datuk Bung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa memberitahu ia akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah pada 16 Disember ini ini.
Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Bung pada 5 Dis lepas.
“Selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam PRN ke-17 Sabah yang diadakan pada 29 November lalu Datuk Bung yang juga Pengerusi BN Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Pada PRN ke-16 pada 2020, Allahyarham menang kerusi Lamag yang kali pertama dipertandingkan dengan majoriti 661 undi.
Selain dari Lamag dua lagi kerusi DUN yang terletak dalam kawasan parlimen Kinabatangan ialah Sukau dan Kuamut.
Pada pilihanraya negeri baru ini DUN Sukau dimenangi oleh seorang calon BN Datuk Jafry Arrifin.
Jafry telah dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah baru ini.
DUN Kuamut pula dimenangi Datuk Masiung Banah, yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pada PRU ke-15 pada November 2022, Datuk Bung mengekalkan kemenangan kali keenam di kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi.
Allahyarham menewaskan calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek dengan memperoleh 16,842 undi, manakala Mazliwati mendapat 12,512 undi. – 10/12/2025



