
KEMASKINI : Datuk Jafry dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah….
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Jafry Ariffin telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah mengantikan tempat Datuk Seri Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember.

Jafry ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sukau yakni salah satu dari tiga DUN dalam parlimen Kinabatangan.Dua lagi ialah Lamag dan Kuamut.
Beliau baru ini dilantik sebagai Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah baru ini.
Sementara itu Datuk Haji Mohd Hasnol bin Haji Ayub dilantik Timbalan Pengerusi dan Tuan Haji Samasuddin bin Yusop sebagai Setiausaha.
Lantikan yang dibuat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi diumum oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan.
Kenyataan itu tidak sebut siapa bakal calon pilihanraya kecil kawasan Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri Lamag yang sebelum ini dua-dua disandang Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin.- 10/12/2025
Umno masih bersedih, belum sedia bincang pengganti Bung’
Umno masih belum bersedia untuk membincangkan pengganti Allahyarham Bung Moktar Radin berikutan kesedihan yang masih dirasai kepimpinan parti itu susulan pemergiannya pada Jumaat lepas.
Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi berkata Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang diadakan semalam hanyalah mesyuarat bulanan biasa tanpa sebarang perbincangan mengenai pengisian jawatan berkenaan.
Dia bagimanapun berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diadakan pada 29 Nov lepas.
Menurut Nurul Amal, sebelum mesyuarat bermula, kepimpinan Umno mengadakan tahlil ringkas sebagai mengenang jasa Allahyarham yang disifatkan amat dekat dan sentiasa berada di sisinya pada mesyuarat-mesyuarat penting sebelum ini.
“Banyak pemimpin masih bersedih dan terasa dengan pemergian Allahyarham (Bung Moktar), kami belum bersedia lagi (bincang pengganti).
“Perasaan masih bercampur baur, memang terasa sangat kehilangan itu. Beri kami sedikit masa,” katanya selepas mesyuarat itu.
Allahyarham Bung Moktar yang juga pengerusi Umno Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu beberapa hari selepas dia memenangi kerusi DUN Lamag dalam PRN Sabah.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah akan diadakan pada 16 Dis ini.
Terdahulu, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat MKT Umno di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.
Turut hadir Naib-Naib Presiden Khaled Nordin dan Johari Abdul Ghani, Ketua Wanita Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.
-Bernama -10/12/2025



