
Kod etika pakaian perkhidmatan barisan hadapan diteliti semula
Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan meneliti cadangan Kabinet berhubung pengecualian kod etika pakaian bagi perkhidmatan barisan hadapan seperti fasiliti kesihatan dan keselamatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kabinet mencadangkan beberapa perkhidmatan termasuk balai polis dan premis kerajaan diberi pengecualian daripada Surat Pekeliling KSN bertarikh 1 Disember 2020.
“KSN akan meneliti pekeliling tersebut dan membuat beberapa penambahbaikan susulan kepada keputusan Jemaah Menteri pada hari ini agar beberapa perkhidmatan yang dianggap barisan hadapan…diberi pengecualian.
“Kita boleh jangkakan kenyataan dan pekeliling baru akan dikeluarkan dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan Rabu malam berkata Kerajaan memberikan kelonggaran dalam etika berpakaian bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa.
Menurutnya kelonggaran itu melibatkan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan.
“Urusan kecemasan dan di luar norma biasa adalah seperti laporan kemalangan, laporan kebakaran dan urusan perihal bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda,” katanya.
Manakala bagi urusan biasa perkhidmatan kaunter dan pejabat kerajaan, ketua jabatan boleh menggunakan budi bicara untuk menentukan etika berpakaian berlandaskan garis panduan yang berkuat kuasa.
“Perkhidmatan awam akan terus menambah baik perihal perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan perhubungan pelanggan yang mesra, cekap dan responsif,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seorang wanita tidak dibenarkan memasuki pekarangan sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) pada Isnin lalu kerana melanggar etika berpakaian yang ditetapkan di premis kerajaan.
Wanita berusia lingkungan 20-an itu datang bersama ibunya untuk membuat laporan kemalangan jalan raya namun tidak dibenarkan masuk kerana skirt yang dipakai lebih pendek daripada paras lutut.
Walau bagaimanapun, Fahmi menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan tiada halangan patut dikenakan terhadap individu yang ingin membuat laporan polis dalam situasi keselamatan.-11/12/2025



