
Larang ‘Roblox’ bukan penyelesaian terbaik, ciri keselamatan perlu diperkukuhkan
Ciri keselamatan aplikasi permainan dalam talian “Roblox” perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan ia selamat digunakan khususnya kepada kanak-kanak.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, larangan penggunaan aplikasi permainan itu bukanlah penyelesaian terbaik.
Beliau memaklumkan, sesi libat urus bersama wakil aplikasi berkenaan, dengan Kementerian Komunikasi telahpun di Parlimen, Kuala Lumpur, pada 28 Oktober lalu.
“Jadi, mereka telah menjelaskan ciri keselamatan kanak-kanak (Child Safety Features) yang disediakan. Sebagai contoh, mereka menggunakan pengesahan umur melalui kamera dengan meminta pengguna menunjukkan wajah dan sebagainya.
“Kami akan terus memantau perkara ini untuk memastikan tahap keselamatan yang ditetapkan dipatuhi. Jika pada bila-bila masa kami merasakan ia tidak memuaskan, seperti yang telah disebut oleh Datuk Fahmi, kemungkinan besar kami akan meminta mereka menambah baik ciri tersebut atau mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika melawat Tapak Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di Kulai.
Syarikat permainan dalam talian itu turut menunjukkan komitmen dalam menambah baik keselamatan platform mereka.
Tambahnya, sesi libat urus seterusnya, akan diadakan dengan lebih banyak pihak termasuk aktivitis serta badan bukan kerajaan, bagi membincangkan lebih lanjut berkaitan perkara tersebut.-12/12/2025



